Dodge Hornet 2023 - 'kembar' Alfa Romeo Tonale

oleh Mohamad Hanif|
Dodge dalam satu acara yang dibuat baru-baru ini memperlihatkan sebuah model SUV baharu - Dodge Hornet 2023.
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
HONDA CR-V MREC Banner Campaign March 2024

"macam pernah lihat, tapi di mana ya?"

Ya, seperti yang anda duga, Dodge Hornet ini sebenarnya menggunakan asas daripada model SUV Alfa Romeo Tonale sebelum diberikan penampilan Dodge yang tersendiri.
 

Hornet


Terdapat dua varian yang ditawarkan, di mana versi paling tertinggi merupakan SUV plug-in hybrid Hornet R/T diikuti dengan varian aras mula Hornet GT.

Membezakan antara kedua-dua varian itu sudah pasti adalah penawaran trenkuasa.

Hornet R/T menampilkan nadi empat silinder sebaris 1.3 liter yang digandingkan dengan motor elektrik pada gandar belakang (121 hp) dan pek bateri 15.5 kWh yang membenarkan jarak gerak sifar emisi 48 km.
 

Hornet


Secara keseluruhan, Hornet R/T berupaya menjana kuasa 288 hp dan 519 Nm, di mana kuasa itu disalurkan kepada sistem pacuan semua roda menerusi transmisi automatik enam kelajuan.

Hornet R/T turut didatangkan dengan ciri suntikan kuasa 25 hp 'PowerShot' selama 15 saat yang mampu memendekkan tempoh pecutan 0-96 km/j kepada 6.1 saat (berbanding 7.1 saat).

Terdapat tiga mod hibrid disediakan iaitu Hybrid Mode untuk kecekapan maksimum, Electric Mode, dan E-Save Mode.
 

Dodge


Versi Hornet GT pula didatangkan dengan nadi Hurricane4 empat silinder sebaris 2.0 liter turbo yang mampu menghasilkan kuasa 268 hp dan 400 Nm, padanan transmisi automatik sembilan kelajuan dan sistem pacuan semua roda.

Pecutan 0-96 km/j adalah sepantas 6.5 saat.

Secara standard, Hornet R/T didatangkan dengan rim bersaiz 18 inci warna Graphite Grey (rim 17 inci Silver untuk Hornet GT), diikuti dengan peredam hentakan Koni, sistem brek Brembo dengan angkup empat omboh (opsyen untuk varian GT), sistem brek pintar (IBS) brake-by wire, sistem gantungan bebas di depan dan belakang serta ciri dynamic torque vectoring.
 

Dodge


Ruang kabin pula dilengkapi dengan skrin kluster digital 12.3 inci, skrin infotainmen Uconnect 5 10.25 inci, sokongan Apple CarPlay dan Android Auto secara nirwayar, sistem audio premium Harman-Kardon dengan 14 pembesar suara, serta sokongan pengecasan peranti pintar nirwayar.

Ciri keselamatan yang dimuatkan termasuklah brek kecemasan automatik, sistem sokongan lorong, pengesanan titik buta, serta penawaran Tech Pack yang menambah ciri pemanduan autonomi Tahap 2 dengan sokongan kelajuan pintar, pengecaman papan tanda trafik, bantuan tumpuan pemandu, kawalan jelajah pintar adaptif, serta bantuan kesesakan trafik.

Harga jualan model SUV segmen C Dodge Hornet ini dianggarkan bermula dari bawah $30,000.