Dodge hampir jual Lancer rebadge di Amerika Syarikat

oleh Mohamad Hanif|
Mitsubishi Lancer generasi kesembilan merupakan sedan generasi terakhir yang dibangunkan oleh Mitsubishi sebelum produksinya dihentikan bagi memberikan laluan kepada crossover dan SUV yang jauh lebih popular.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Sedan ini juga turut dijenamakan semula sebagai Proton Inspira dengan tagline 'Smart Guys Get It' walaupun pada ketika itu Lancer turut dijual secara rasmi oleh Mitsubishi sebagai unit CBU.

Selain daripada kerjasama Proton-Mitsubishi, jenama automotif yang kerap kali dikaitkan dengan Mitsubishi adalah Dodge.

Meskipun lahir di Amerika, Dodge sebelum ini kerap kali memperkenalkan produk rebadge daripada Mitsubishi, seperti Dodge Colt, Dodge Lancer Celeste, serta Dodge Stealth (GTO).
 

Lancer



Salah satu produk Mitsubishi yang hampir ditukarkan lencananya menjadi produk Dodge adalah Lancer generasi kesembilan, berdasarkan penemuan oleh pengguna Reddit (@lostboyz).

Menurut @lostboyz, Lancer ini sebenarnya telah dikesan sejak 12 tahun yang lalu, namun pada ketika itu beliau tidak mahu sebarang masalah timbul akibat cuba mendedahkan gambar tanpa kebenaran Dodge.

Berdasarkan gambar, hampir keseluruhan sedan ini membawakan rekaan Lancer, melainkan penampilan nama baharu Dodge Caliber, logo rasmi Dodge, serta rekaan bampar depan yang telah diubah supaya menyamai bahasa rekaan Dodge pada ketika itu.

Sejarah kehadiran model Dodge 'Lancer' ini bermula pada tahun 2004 apabila Chrysler bekerjasama dengan Mitsubishi bagi membangunkan sedan kompak bernama Rebel bagi menggantikan Dodge Neon.
 

Dodge


Belum pun sempat diperkenalkan, projek tersebut dibatalkan dan Dodge menggunakan platform Lancer yang sama untuk memperkenalkan sebuah hatchback stail crossover yang diberikan nama Dodge Caliber pada tahun 2005.

Mujur Mitsubishi tetap meneruskan pembangunan sedan empat pintu tersebut sebelum melancarkan Lancer generasi kesembilan pada tahun 2007.

Jika projek ini diteruskan pada ketika itu, besar kemungkinan sekarang kita boleh melihat Lancer dalam tiga lencana yang berbeza, iaitu Mitsubishi, Proton dan juga Dodge.