Disyaki tertidur, dua beranak lemas dalam kereta

oleh Mohamad Hanif|
DUA beranak termasuk kanak-kanak lelaki berusia enam tahun dilaporkan kritikal dipercayai akibat lemas di parkir kereta perkarangan Hospital Kemaman, Chukai, hari ini.

Mohd Amiroshelmi Jusoh,30, dan anaknya, Putera Rafiudin ditemui terbaring tidak sedarkan diri dalam kereta Proton Gen.2 kira-kira jam 12.30 tengah hari.

Menurut rakan mangsa, Mohd Hazmin Jusoh, 33, ada menghubungi mangsa untuk berbincang soal kerja, namun panggilannya tidak dijawab.

“Saya ambil keputusan ke lokasi kejadian kerana berasakan mangsa berada di hospital melawat isteri dan anak bongsunya berusia tiga tahun,” katanya.

Menurutnya, sebaik menghampiri kereta mangsa, dia terkejut apabila mendapati dua beranak itu berada dalam keadaan terbaring.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

 

“Saya segera mengejutkan Mohd Amirolhelmi bersama anaknya, namun mereka tiada sebarang tindak balas,” katanya.

Katanya, dia mengambil batu untuk memecahkan tingkap kereta bagi menyelamatkan dua beranak terbabit.

“Saya terus mengambil anaknya yang berada dalam keadaan pucat dan mendukungnya terus ke unit kecemasan.

“Rakan saya pula dikeluarkan kakitangan hospital sebelum dibawa ke unit kecemasan untuk rawatan.

“Mereka masih dirawat dan saya harap kedua-duanya selamat,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Mohd Said Ibrahim ketika dihubungi, mengesahkan ada menerima laporan berhubung kejadian itu.

Katanya, dua beranak terbabit dilaporkan kritikal dan masih diberikan rawatan kecemasan.

“Siasatan sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca kejadian sama ada dua mangsa ini mengalami keracunan karbon monoksida atau lemas kerana mereka ditemui dalam keadaan tingkap tertutup,” katanya - HARIAN METRO.