Menerusi satu video ringkas berdurasi satu minit, beberapa unit Land Rover Defender terlibat dalam satu aksi berani mati yang dilakukan oleh pemandu aksi lasak demi filem terbaharu Bond 'No Time To Die'.
Walaupun seperti mana yang kita tahu, tidak kesemua aksi lasak tersebut akan ditayangkan di layar perak, video ringkas itu cukup untuk menggambarkan bagaimana karakteristik pemanduan Land Rover Defender terutama di jalan yang tidak serupa jalan itu.
Malah, dalam satu seksyen, tiga Defender telah 'dilepaskan' ke udara sebelum melalui laluan yang lebih ekstrem dalam kelajuan tinggi merentas sungai dan lumpur.
Difahamkan, sebanyak 10 unit Land Rover Defender standard tanpa sebarang modifikasi (ya!) telah digunakan untuk aksi lasak filem 'No Time To Die' termasuklah Defender yang ketujuh dengan nombor VIN 007.
Hal ini diakui sendiri oleh pengarah bahagian urusan kenderaan, Nick Collins di mana mereka sendiri tidak melakukan sebarang modifikasi terhadap struktur badan kecuali memasang sangkar keselamatan sahaja sebagai langkah berjaga-jaga.