Diorama slot car Formula Satu skala 1:32 - bakal dilelong dengan harga bermula RM83k

oleh HEZERI SAMSURI|
Permainan slot car tidak begitu popular di Malaysia kerana ia memerlukan ruang yang besar.

Di Eropah dan di US, permainan slot car bukan setakat menguji koordinasi jari dan mata, tetapi ia dijadikan kerja seni dengan menambah sketsa diorama agar ia nampak seperti kejadian sebenar.

Antara yang menarik perhatian penulis ialah diorama slot car perlumbaan Formula Satu yang bakal dilelong di Abu Dhabi pada 30 November ini.

Dibina pada skala 1:32 oleh Slot Mods Raceways di Detroit, diorama ini bawa untuk dipamerkan di setiap Formula 1 Paddock Club untuk siri perlumbaan Formula 1 tahun 2018.

 

 

Ia direka untuk perlumbaan dua buah kereta slot dan ia bukan sahaja nampak lengkap, diorama ini turut dilengkapi dengan alat pengira masa pusingan elektronik (electronic built-in lap timing) dan juga kamera litar.

Litar slot ini boleh dibuka kepada dua bahagian untuk memudahkan ia dipindahkan. 

Muka-muka penonton, pokok-pokok dan rumput serta bangunan-bangunan semuanya dicat oleh pelukis mahir.

 

 

Kerja seni ini akan dilelong dan dijangka akan terjual pada harga antara RM83,000 hingga RM126,000.

Hasil jualan akan didermakan kepada Tabung Reaching The Last Mile, satu badan kebajikan yang berkempen untuk melenyapkan penyakit-penyakit boleh lupus di Ethiopia, Sudan, Chad, Mali, Niger, Senegal dan Yaman. 

Ia diasaskan oleh Sheikh Mohamed bin Zayed dengan kerjasama Yayasan Bill Gates.

Jika anda berminat untuk membida, sila ke pautan RM Sotheby's di bawah.

https://rmsothebys.com/en/auctions/ad19/abu-dhabi/lots/n0008-formula-1-slot-car-racetrack/831886

 

Add new comment

Careta Ad