Diesel naik RM3.35 seliter untuk Semenanjung

oleh Firdaus Razani|
Kementerian Kewangan hari ini mengumumkan harga baharu bagi bahan api diesel di semua stesen minyak di Semenanjung Malaysia iaitu pada kadar RM3.35 seliter.

Harga baharu tersebut bakal terlaksana serta merta bermula jam 12 tengah malam ini.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, dengan mekanisme bantuan bersasar yang tersedia, kerajaan kini sudah bersedia untuk melaraskan harga diesel bagi semua negeri di seluruh Semenanjung Malaysia.

Menurutnya, bermula pada tengah malam hari Isnin ini, harga diesel di semua stesen runcit petrol di Semenanjung Malaysia akan ditetapkan pada kadar RM3.35 seliter iaitu harga pasaran tanpa subsidi berdasarkan purata bulan Mei 2024 mengikut formula Automatic Pricing Mechanism (APM).

"Untuk tempoh seterusnya, harga diesel semasa akan diumumkan pada setiap minggu, mengikut amalan semasa Kementerian Kewangan.

"Namun, Kerajaan akan terus memantau keadaan semasa bagi mengelakkan ketidakstabilan harga," katanya pada sidang media Penyasaran Subsidi Diesel di Kompleks Kementerian Kewangan, di sini, hari ini.

Amir Hamzah berkata, dengan penetapan harga dan pelaksanaan subsidi bersasar ini, kerajaan menjangkakan pengurangan serta-merta kerugian daripada aktiviti ketirisan yang boleh membawa kepada penjimatan sebanyak RM4 billion setahun.

"Penjimatan yang diperoleh kerajaan daripada langkah penting ini akan memastikan terdapat lebih banyak sumber untuk disalurkan ke dalam sektor kritikal lain yang secara langsung akan meningkatkan kualiti hidup rakyat, termasuk infrastruktur awam, penjagaan kesihatan dan pendidikan untuk anak-anak kita.

"Sekali lagi, saya ingin mengingatkan rakyat Malaysia yang layak untuk memohon bantuan tunai Budi Madani," katanya.

Beliau berkata, mereka yang memohon pada Jun akan layak menerima bantuan tunai untuk Jun dan seterusnya.

Sementara, mereka yang terlepas membuat permohonan pada Jun akan layak menerima bantuan tunai untuk bulan permohonan dan seterusnya.

"Saya ingin tegaskan bahawa apa yang dilakukan kerajaan hari ini adalah menyasarkan semula subsidi untuk golongan yang benar-benar layak sahaja.

"Kita mahu menghentikan ketirisan yang amat merugikan rakyat dan negara.

"Tahun demi tahun, kita menampung kerugian besar dan ini boleh merencat kemakmuran yang sepatutnya menjadi milik kita," katanya.

Amir Hamzah berkata, ini adalah satu keputusan kerajaan untuk mengukuhkan kedudukan kewangan negara untuk jangka masa panjang.

Pada ketika ini, dengan jumlah subsidi diesel yang besar diberi oleh kerajaan, harga runcit diesel di Malaysia menjadi antara yang terendah di dunia.

Harga diesel di Malaysia dijual pada empat harga yang berbeza mengikut subsidi iaitu:

• yang termurah, RM1.65 bagi nelayan;

• RM1.88 bagi pengangkutan awam darat;

• RM2.15 bagi kenderaan komersial dan persendirian, serta

• harga pasaran tanpa subsidi bagi sektor komersial yang pernah mencecah RM3.60 awal tahun ini.

Pada masa yang sama harga di negara jiran lebih tinggi, lebih kurang RM4 di Thailand, RM4.50 di Indonesia dan hampir mencecah RM9 di Singapura. 

Keadaan ini mengundang penyeludupan ke negara jiran dan penyelewengan ke sektor komersil yang tidak layak menggunakan diesel bersubsidi.

 

 

SUMBER : Harian Metro

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Kebanyakan peniaga yang mengendalikan gerai di sepanjang jalan utama di bandar Sungai Golok,…
Berita Global
Pada 10 Jun, kerajaan Malaysia telah memotong sebahagian besar subsidi diesel, yang dikatakan…
Berita Domestik
Menurut FreeMalaysiaToday (FMT), sekurang-kurangnya dua pengeluar konkrit, DPG Readymix Sdn Bhd dan…