Model diecast Proton Saga MC3 dan Proton e.MAS 5 ditawarkan pada harga RM78 seunit dan boleh didapati di outlet Sunway Tiny Toys di Sunway Lagoon serta penjual rasmi terpilih.
Buat masa ini, hanya model Proton Saga MC3 telah dipertontonkan kepada umum, manakala Proton e.MAS 5 bakal menyusul dalam dua pilihan warna iaitu Marble Creamdan Quartz Rose.
Sementara itu, Proton Saga MC3 hadir dalam dua warna badan iaitu Ruby Red dan Marine Blue, dengan warna Marine Blue ditawarkan secara eksklusif sempena The Model Car Show di Pavilion Bukit Jalil pada 27 hingga 28 Jun.
Walaupun bersaiz 1/64, model Saga MC3 ini dibina dengan perhatian terhadap perincian.
Ia dilengkapi lampu hadapan dan belakang jenis clear lens, rekaan rim yang menyerupai model sebenar varian Saga MC3 Premium, selain mempunyai bonet yang boleh dibuka bagi memperlihatkan replika enjin 1.5-liter i-GT empat silinder. Kedua-dua pintu hadapan juga boleh dibuka untuk mempamerkan ruang kabin.
Menurut Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif PROTON, Dato' Ir. Abdul Rashid Musa, Proton Saga sudah lama mempunyai tempat istimewa di hati rakyat Malaysia, manakala Proton e.MAS 5 melambangkan hala tuju baharu syarikat dalam era mobiliti elektrik.
Beliau berkata, penghasilan model skala ini diharap dapat memberi peluang kepada rakyat Malaysia untuk menghargai perjalanan PROTON bukan sekadar sebagai pengeluar kereta nasional, malah sebagai sebahagian daripada sejarah dan pembangunan industri automotif negara.
Pemilihan Proton Saga dan Proton e.MAS 5 turut menggambarkan evolusi barisan produk PROTON.
Saga terus menjadi model paling ikonik jenama itu dengan rekod jualan yang kukuh dalam segmen enjin pembakaran dalaman (ICE), manakala e.MAS 5 pula berjaya muncul sebagai EV mampu milik pertama dan paling laris di Malaysia, sekali gus mencerminkan penerimaan yang semakin baik terhadap mobiliti elektrik dalam kalangan pengguna tempatan.
Bagi PROTON, kerjasama bersama Sunway Tiny Toys bukan sekadar menghasilkan koleksi miniatur, tetapi turut menjadi medium untuk menghidupkan semula kenangan serta memperkenalkan legasi dan masa depan jenama itu kepada generasi baharu peminat automotif.