Bertempat di Juru, Penang, bilik pameran MotorPlex Butterworth menawarkan barisan model motosikal dari 4 jenama terkenal iaitu Piaggio, Vespa, Aprilia dan Moto Guzzi.
Selain pelbagai model motosikal, bilik pameran tersebut turut menawarkan pelbagai jenis aksesori dan kelengkapan menunggang yang boleh dipadankan dengan pelbagai model motosikal.
Didi Group telah melantik GB Motorcycles Sdn Bhd sebagai pengurus untuk bilik pameran MotorPlex Butterworth yang akan menjual 4 jenama tersebut secara rasmi di Malaysia.
Direka bertemakan ala Itali, bilik pameran baharu itu memiliki keluasan 3,200 kaki persegi yang dibahagikan sebanyak 2,600 kaki persegi untuk ruang pameran dan 600 kaki persegi untuk ruang servis.
Ruang servis juga dilengkapi dengan pelbagai kelengkapan dan peralatan untuk membaik pulih serta alat diagnostik terkini, bersama mekanik terlatih yang akan memberikan perkhidmatan terbaik untuk para pelanggan.

Selain 4 jenama tersebut, Didi Group juga merupakan pengedar sah untuk jenama Harley-Davidson, Triumph dan Royal Enfield di Malaysia.
Bilik pameran baharu itu terletak di 1681 G1, Jalan Perusahaan, 13600 Perai, Pulau Pinang. MotorPlex Butterworth juga beroperasi setiap hari dari jam 9.30 pagi hingga 6 petang.