Pengumuman ini menandakan DHL Express sebagai syarikat pertama di dalam negara yang membuat peralihan kepada penggunaan armada kenderaan komersial berkuasa elektrik.
Enam van baharu itu akan mula berkhidmat seawal bulan Oktober untuk kawasan sekitar Selangor dan Kuala Lumpur.
DHL akan menambah 55 buah EV dengan jumlah EV mencecah 61 unit menjelang tahun 2023 untuk kegunaan di seluruh negara.
Van elektrik CAM EC35 memiliki ruang kargo sebesar 4,800 liter dengan had muatan lebih daripada satu tan, keupayaan yang sama dengan van berenjin pembakaran dalaman yang digantikannya.
CAM EC35 memerlukan masa lapan jam untuk pengecasan penuh dengan jarak gerak sejauh 266 km. Untuk keselamatan, ia juga dilengkapi dengan sistem brek anti-kunci (ABS) dan pengagihan daya brek elektronik (EBD) sebagai satu ciri standard bagi memastikan keselamatan ketika melakukan tugas penghantaran.
Dalam masa yang sama, DHL juga sedang membangunkan infrastruktur untuk menyokong penggunaan kenderaan komersial berkuasa elektrik itu, seperti contoh poin pengecasan pintar pada setiap pusat servis untuk menampung penambahan van elektrik pada masa akan datang.
Dengan penggunaan CAM EC35, DHL akan menyaksikan penjimatan kos sebanyak 48 peratus berbanding penggunaan kenderaan konvensional, serta pengurangan emisi CO2 sebanyak 33 peratus setiap tahun.
Di peringkat global, DHL menyasarkan 60 peratus daripada armadanya terdiri daripada kenderaan berelektrik menjelang tahun 2030, dan menjelang tahun 2024, DHL Express merancang untuk mempunyai lebih 1,000 EV di Asia Pasifik.