DeLorean DMC-12 hadir pada 2024! Guna elektrik hasil kerja Electrogenic

oleh Muhammad Md Tajudin|
Electrogenic Electric DeLorean
Electrogenic Electric DeLorean
Generasi Z dan Alpha mempunyai Tesla Model X dengan pintu helang sebagai ikon dan membawa teknologi masa depan ke dunia semasa. 

Generasi X dan Y pula memiliki DeLorean DMC-12 dan bukan sahaja merentasi masa silam tetapi juga masa depan.

DMC-12 terlebih dahulu menggunakan pintu buka atas atau sayap burung camar.

Perbezaan puluhan tahun di antara Model X dirapatkan apabila Electrogenic dari United Kingdom (UK) memasang rangkaian kuasa elektrik pada DMC-12.
Electrogenic Electric DeLorean

 

Projek ini bukan sebuah sahaja dan boleh dipasang pada DMC-12 sedia ada. Kepada yang mahu mengekalkan keaslian, kit EV Electrogenic boleh ditukar semula kepada asal.

Electrogenic sudah pun menawarkan pelbagai pakej penukaran elektrik seperti Land Rover Defender, Jaguar E-type, Mini dan Porsche 911.

Idea DMC-12 datang dari John DeLorean pada lewat 70-an dan beliau pernah berkhidmat bersama General Motors.

Rekaan DMC-12 hasil kerja Giorgetto Giugiaro dan sentuhan pereka tersohor itu begitu jelas. DMC-12 menggunakan panel komposit dan besi tahan supaya tahan lama.

 

Electrogenic Electric DeLorean DMC-12

 

Nampaknya objektif John DeLorean sekali lagi menjadi kenyataan apabila DMC-12 berupaya untuk bertahan dalam dunia elektrifikasi.

Para jurutera, pengaturcara dan pembuat Electrogenic secara teliti merekabentuk pakej elektrik yang bersesuaian dengan seni bina asal DMC-12.

Mereka menggunakan permodelan reka bentuk berbantu komputer (CAD) dan penyelesaian pintar untuk memaksimumkan ruang yang ada.

Pakej pasang dan pakai ini terdiri daripada bateri 43 kilowatt-jam (kWj) di belakang dan ruang simpanan depan (reaktor tenaga?).

 

Electrogenic Electric DeLorean DMC-12

 

Seperti projek Electrogenic lain, struktur asal kereta dikekalkan dan tidak dipotong sekiranya pemilik mahu kembali ke masa silam.

Bateri tersebut membekalkan 160 kilowatt (kW) dan 310Nm (plutonium?) pada kotak gear nisbah kekal dan transgandar ke roda belakang. 

Turut dilengkapi sistem pembrekan regeneratif boleh laras. Satu lagi yang menarik ialah berat DMC-12 elektrik hanya bertambah 40 kilogram berbanding enjin asal. 

Dari segi pecutan pula, 0 sehingga 97 kilometer sejam (km/j) dicapai di bawah lima saat. Akhirnya DMC-12 menjadi kereta berprestasi.

 

Electrogenic Electric DeLorean DMC-12

 

Kuasa elektrik membantu pemandu menikmati DMC-12 sehingga 241 kilometer.

DMC-12 melengkapi ciri moden dengan mod pemanduan Eco untuk pemanjangan jarak dan Sport bagi menikmati kuasa tertinggi.

Satu lagi ciri kereta sport ialah kawalan mula pandu (launch control) dan pertama untuk pengubahsuaian Electrogenic.

Kereta ini boleh menggunakan pengecas pantas dan masa yang diperlukan sejam. Sebagai contoh bermula pada pukul 10.04 malam dan tunggu lebih kurang sejam.

 

Electrogenic Electric DeLorean DMC-12

 

Turut dilengkapi fungsi vehicle-to-load (V2L) yang membekalkan kuasa (3 kW, AC 240V) kepada komputer riba, peti sejuk dan kereta lain!

Model pertama DMC-12 dilengkapi ciri buatan khas seperti Apple Car Play dan papan pemuka maya dengan paparan sistem elektrik.

Memandangkan kit Electrogenic jenis pasang dan pakai, pemilik boleh mendapatkannya dari pemasang bertauliah termasuk di luar UK.

Selamat datang ke masa depan DeLorean DMC-12!

Penulis: Muhammad Md Tajudin (maaf, penulis tidak boleh mengelak dari membayangkan babak filem tersohor 80-an)

 

Electrogenic Electric DeLorean DMC-12