Defender klasik 'baharu' boleh didapati di Poland - harga dari €59k (RM276k!)

oleh Mohamad Hanif|

Meskipun ramai yang tidak sabar menantikan kehadiran generasi baharu SUV Land Rover Defender yang dijangka muncul September ini, ada di antara kita yang masih setia dengan rekaan asal, klasik dan ikonik Defender itu. 

Namun, penghasilan Defender sudah lama dihentikan oleh Land Rover bagi memberikan laluan kepada generasi baharu. 

Tambahan pula, casis asal sudah terlalu berusia untuk memenuhi keperluan keselamatan yang semakin ketat. 
 


Usah bimbang, bagi anda yang tidak mempunyai sebarang masalah kewangan, anda boleh terbang ke Poland untuk mendapatkan khidmat pembina Defender, Land Serwis, salah sebuah daripada empat syarikat pakar Defender utama di dunia. 

Firma yang berpengalaman selama 25 tahun berkecimpung menala model off-road ikonik itu kini memulakan sebuah projek baharu dari kertas kosong yang digelar "Defender Factory".

Ya, mereka membina semula model-model Defender lama menjadi unit baharu, bergantung kepada alat ganti komponen yang mereka ada atau komponen baharu. 
 


Malah, syarikat itu juga menyimpan stok-stok casis baharu bagi membangunkan Defender 90, 110 atau 130 mengikut permintaan. 

Menurut Land Serwis, rangka Defender 'baharu' ini dibangunkan lebih tebal dan lebih kuat berbanding rangka asal - terima kasih kepada proses celupan panas bergalvani yang menjadikannya lebih tahan lasak.

Hasil kerja pertama yang keluar daripada Defender Factory ialah model Defender Crew Cab Pickup yang hadir dalam penggayaan versi Heritage dan warna klasik dua tona Grasmere Green/Alaska White.

 


Ia dibina semula menggunakan casis asal yang diperkukuh - mengikut kehendak pemilik - dan enjin Puma 2.4 liter turbo diesel turut diberikan nafas baharu bagi menyalurkan kuasa yang diperlukan dengan lebih berkesan.

Selain daripada itu, perubahan juga turut dibuat pada sistem pemanduan yang terdiri daripada aci pemacu, differential gandar, sistem ekzos tahan karat, serta sistem suspensi daripada SuperGaz dengan kit pengangkat 2 inci.

Ruang arca roda pula dihiasi dengan rim Wolf yang dibaluti tayar Goodyear Wrangler MT/R. 
 


Trak pikap Defender ini turut diberikan nafas baharu di ruang kabin, menampilkan upholsteri kulit eko, sistem penyerap bunyi tambahan, tingkap kuasa dan sebuah komponen pemanas Webasto Air Top 2000 ST. 

Harga yang diminta pula tidaklah begitu murah untuk sebuah hasil kerja yang sangat cantik ini, ia bermula dari €59,900 (RM276 ribu) tidak termasuk aksesori-aksesori tambahan. 

 

Berita Berkenaan

Berita Global
Seperti contoh, Ineos Automotive menerusi model SUV Ineos Grenadier dan yang terbaharu datang dari…
Berita Global
Kini, syarikat itu mengorak langkah baharu dengan memulakan fasa produksi bagi SUV 'pengganti…
Berita Global
  Kesemua 16 buah Defender 110 tersebut disimpan dan kini dibuka untuk jualan, jarak pemanduan…