Fokus Selesai Bottleneck Trafik Bandar
Memetik laporan BERNAMA bertarikh 27 April 2026, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Fadlun Mak Ujud memaklumkan bahawa tiga projek utama telah dikenal pasti berdasarkan analisis aliran trafik semasa serta unjuran pertumbuhan kenderaan.
“Kesemua projek ini memberikan tumpuan kepada penyelesaian isu bottleneck yang menjejaskan pergerakan harian warga kota,” katanya.
Laluan Alternatif Jalan Kiara 7 Ke SPRINT
Antara projek utama ialah pembinaan laluan alternatif yang menghubungkan Jalan Kiara 7 ke Lebuhraya SPRINT (Penchala Link) di Segambut.
“Bagi menangani isu ini, DBKL akan membina laluan alternatif yang menghubungkan Jalan Kiara 7 terus ke Lebuhraya SPRINT. Projek ini melibatkan pembinaan jalan baharu sepanjang 562 meter serta struktur terowong dan jambatan,” jelas beliau.

Berdasarkan simulasi trafik yang dijalankan, projek ini berpotensi meningkatkan tahap perkhidmatan jalan daripada LOS F kepada LOS C.
“Berdasarkan simulasi trafik, projek ini berpotensi meningkatkan tahap perkhidmatan daripada LOS F kepada LOS C, sekali gus mengurangkan masa perjalanan dan mengagihkan semula aliran trafik,” katanya lagi.
Projek tersebut dijadualkan bermula pada suku keempat tahun ini dan dijangka siap dalam tempoh dua tahun.
Naik Taraf Susur Keluar Seputeh
Selain itu, DBKL turut merancang kerja naik taraf susur keluar di Seputeh dari Lebuhraya Pantai Baru (NPE) ke Lebuhraya Kuala Lumpur–Seremban.

“Kerja naik taraf ini melibatkan penambahan satu lorong menjadikannya tiga lorong serta menaik taraf jajaran jalan dan jambatan sepanjang kira-kira 600 meter bagi meningkatkan kapasiti trafik,” katanya.
Projek ini dijangka bermula pada suku keempat tahun ini dan siap dalam tempoh setahun.
Persimpangan MRR2 Wangsa Maju Turut Dinaik Taraf
Dalam perkembangan sama, DBKL juga merancang menaik taraf persimpangan Jalan 7/24 dan Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2) di Wangsa Maju.

“Cadangan naik taraf melibatkan pelebaran susur masuk dan keluar, penambahbaikan reka bentuk persimpangan serta elemen keselamatan jalan raya,” ujar beliau.
Projek ini dijangka bermula pada Jun dan siap dalam tempoh empat bulan.
Pendekatan Baharu DBKL Tangani Kesesakan
Fadlun turut menegaskan bahawa ketiga-tiga projek ini mencerminkan pendekatan baharu DBKL dalam menangani isu kesesakan bandar secara lebih menyeluruh.
“Pendekatan ini meletakkan hasil pembangunan kembali kepada rakyat melalui pelaburan infrastruktur yang menyelesaikan masalah sebenar bandar raya,” katanya.