DBKL lupus 4,622 kenderaan buruk sejak 2022

oleh Penyumbang Rencana|
foto Harian Metro
Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sudah melupuskan sebanyak 4,622 kenderaan buruk dan tersadai sejak 2022 hingga 2025 dalam usaha memastikan persekitaran ibu negara bersih, selamat dan teratur.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh, berkata dalam tempoh berkenaan, DBKL menerima sebanyak 9,411 aduan berkaitan kenderaan buruk dan tersadai di sekitar Kuala Lumpur.

Daripada jumlah itu katanya, sebanyak 4,637 kenderaan ditarik keluar dan dibawa ke depoh DBKL untuk tindakan lanjut.

"Sebanyak 4,622 kenderaan berjaya dilupuskan manakala selebihnya dituntut semula oleh pemilik kenderaan masing-masing.

"Untuk tahun ini pula, sehingga Mei lalu sebanyak 1,504 lagi kenderaan berjaya ditarik keluar dan ditempatkan di depoh DBKL dan daripada jumlah itu, sebanyak 367 kenderaan masih dalam proses pelupusan mengikut prosedur yang ditetapkan," katanya kepada pemberita selepas Lawatan Turun Padang Pelupusan Kenderaan Buruk oleh Car Medic Semenyih di Bandar Teknologi Kajang, Semenyih.

Hannah berkata, isu kenderaan tersadai memberi kesan terhadap kebersihan bandar, keselamatan, imej kawasan perumahan selain menggalakkan vandalisme dan pembiakan nyamuk.

Katanya, situasi itu menunjukkan keperluan tindakan pengurusan dan pelupusan lebih cekap serta tersusun termasuk menerusi program pelupusan secara sukarela bersama Car Medic yang menawarkan ganjaran tunai kepada pemilik kenderaan.

"Saya bersama Datuk Bandar Kuala Lumpur telah membangkitkan isu berkenaan ini kepada Menteri Pengangkutan, Anthony Loke minggu lalu bagi memperkukuhkan kerjasama antara DBKL dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

"Langkah ini penting supaya proses semakan, sitaan dan pelupusan kenderaan dapat dipercepatkan sekali gus mengelakkan pembaziran ruang di kawasan bandar dan perumahan," katanya.

Beliau berkata, orang ramai juga boleh mengambil inisiatif sendiri untuk melupuskan kenderaan termasuk motosikal, bas atau lori menerusi Car Medic tanpa perlu menunggu tindakan DBKL atau pihak berkuasa tempatan (PBT).

"Rakyat yang tinggal di luar Program Perumahan Rakyat (PPR) boleh secara proaktif menghubungi terus Car Medic untuk melupuskan kenderaan.

"Hasrat kita supaya lebih banyak ruang parkir awam dapat dikosongkan selain mengatasi masalah pembiakan nyamuk, pembaziran tempat letak kereta dan kawasan perumahan yang tidak teratur," katanya.

Susulan itu, pihaknya juga akan mendapatkan bantuan persatuan penduduk PPR untuk mengedarkan poster berkaitan program pelupusan kenderaan kepada penduduk setempat.

Ditanya, apa punca utama orang meninggalkan kenderaan terbiar, Hannah berkata ramai orang masih tidak tahu cara melupuskan kenderaan selain merasakan ia memerlukan kos yang tinggi untuk membayar trak tunda.

"Jadi melalui usaha kita ini diharap lebih ramai orang tahu cara untuk melupuskan kenderaan tidak kira di mana sahaja mereka berada.

"Lebih menarik apabila melupuskan kenderaan ini, pemilik juga akan mendapat bayaran bergantung kepada keadaan kenderaan kecuali bagi motosikal yang tiada bayaran.

"Jadi jika ada bas, lori, kereta apa sahaja kenderaan, boleh hubungi Car Medic dan mereka akan memberikan sebut harga kepada pemilik sebelum tindakan selanjutnya," katanya.

Sementara itu berkenaan lawatan yang diadakan itu, Hannah berkata, lawatan itu bertujuan memastikan proses pelupusan kenderaan dilaksanakan secara sistematik, selamat dan mematuhi prosedur ditetapkan.

Selain itu katanya, pemilihan syarikat itu oleh DBKL adalah melalui tender terbuka serta mempunyai lesen ditetapkan.

kereta lupus
foto Harian Metro

Harian Metro

Berita Berkenaan

Informasi
Selain itu, Jalan Langgak Golf turut dijadikan laluan sehala bagi pergerakan keluar menuju ke Jalan…
Berita Domestik
Menurut kenyataan DBKL, pihaknya mengambil maklum mengenai hantaran yang tular berkaitan…
Berita Domestik
“Kenderaan tersadai juga menimbulkan masalah lain seperti kekurangan petak parkir, halangan lalu…