DBKL ambil tindakan terhadap penduduk bolot parkir awam

oleh Mohamad Hanif|
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

PASUKAN Penguatkuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengambil tindakan terhadap penduduk di sekitar Seksyen 1, Wangsa Maju, Kuala Lumpur yang melakukan halangan pada petak parkir kereta disediakan.

Dalam Operasi Halangan Petak Parking semalam, pasukan terbabit mengambil barang diletakkan sebahagian penduduk di sekitar rumah pangsa Seksyen 1, Wangsa Maju, sebagai cubaan menanda dan memonopoli petak parkir awam.

Pengarah Penguatkuasa DBKL, Azman Mahmood, berkata setiap parkir disediakan adalah kemudahan umum atau awam untuk semua penduduk dan bukan parkir tetap untuk mereka.

“Konsepnya mudah, siapa cepat dia dapat parkir berkenaan dan ia disediakan untuk semua penduduk di kawasan berkenaan.

“Parkir berkenaan tidak boleh dikuasai atau dimonopoli pihak tertentu dengan meletakkan objek sebagai penanda atau booking.

“Sekiranya ada penduduk menggunakan satu petak parkir hari ini, belum tentu pada keesokan harinya atau hari akan datang parkir berkenaan adalah untuk kegunaan penduduk itu sahaja,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Azman berkata, dalam operasi berkenaan bermula 8 pagi hingga 4 petang itu, pihaknya mengalihkan pelbagai jenis objek seperti tong minyak, tong cat, bekas minyak hitam, tong sampah, tayar dan tong mengandungi kayu dan besi yang diletakkan sebahagian penduduk dalam kawasan petak parkir.

“Parkir disediakan adalah percuma untuk kegunaan semua penduduk dan tidak dimiliki oleh sesiapapun.

“Perbuatan meletakkan objek sebagai petunjuk parkir berkenaan miliknya adalah salah dan boleh dikenakan tindakan,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya percaya kegiatan memonopoli parkir turut berlaku di beberapa kawasan kediaman khususnya sekitar rumah pangsa, rumah kedai, pusat perniagaan dan kedai makan di seluruh Kuala Lumpur dan akan terus melakukan pemantauan sebelum tindakan selanjutnya diambil.