DBKL akan perkenal sistem amaran awal tanah runtuh

oleh Penyumbang Rencana|
gambar hiasan
Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan memperkenal Sistem Amaran Awal Tanah Runtuh sebagai antara usaha pemakluman sekiranya terdapat kejadian pergerakan tanah di ibu kota.


Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Kamarulzaman Mat Salleh dalam kenyataan memaklumkan sistem itu akan dilaksana bagi keseluruhan ibu kota secara berperingkat dengan memberi keutamaan kepada lokasi berisiko terlebih dahulu.
CHERY TIGGO 7 PRO Launch MREC Banner Campaign June 2024

 

 

"Selain itu, DBKL menerusi Unit Cerunnya sedang giat memantau lokasi berisiko tinggi berlakunya tanah runtuh bagi memastikan tindakan yang cepat dapat diambil sekiranya terdapat tanda-tanda awal kegagalan cerun di lokasi.

"Unit itu bertanggungjawab mengemas kini data cerun sedia ada di dalam KuLSIS (Sistem Maklumat Cerun Kuala Lumpur) supaya jumlah cerun yang direkodkan adalah yang terkini dan tepat, selaras dengan pembangunan pesat di Kuala Lumpur," katanya.

Beliau berkata terdapat 108 lokasi aduan mengenai kejadian tanah runtuh dilapor berlaku sejak Disember 2021 melibatkan cerun berisiko dan memerlukan tindakan selanjutnya daripada pihak yang bertanggungjawab.

Kamarulzaman berkata daripada jumlah itu, 59 aduan melibatkan rezab jalan dengan dan kerja-kerja pembaikan telah siap dilaksanakan manakala 49 lagi berada di bawah tanggungjawab pihak persendirian.

Beliau berkata DBKL telahpun mengeluarkan notis kepada pemilik tanah untuk melaksanakan kerja-kerja pembaikan dengan dipantau dari semasa ke semasa oleh pihaknya.

"Pengurusan cerun di Kuala Lumpur sebenarnya melibatkan pelbagai pihak bergantung dan tertakluk kepada pemilikan tanah kawasan tersebut, contohnya jika berlaku kejadian tanah runtuh di dalam kawasan milik Pesuruhjaya Tanah Persekutuan (PTP), pihak Jabatan Kerja Raya akan mengambil tindakan yang sewajarnya bagi kerja-kerja pembaikan ke atas runtuhan itu.

"Ini sebagaimana insiden yang berlaku di Akademi Pencegahan Rasuah pada 26 April lepas. Bagaimanapun, DBKL bersedia untuk membantu sekiranya diperlukan," katanya.

Kamarulzaman berkata pengurusan tanah runtuh di bawah tanggungjawab DBKL pula meliputi kawasan rezab jalan, kawasan rekreasi dan mana-mana tanah di bawah penyelenggaraannya.

Beliau berkata dalam usaha memperkemaskan lagi soal pengurusan cerun di ibu kota, DBKL kini dalam proses menyediakan Garis Panduan Penyelenggaraan Cerun di Kawasan Tanah Bermilik di Kuala Lumpur sebagai rujukan terutama kepada pemilik tanah persendirian.

Selain itu, Unit Cerun DBKL bercadang mengadakan sesi perjumpaan dan taklimat bersama warga kota untuk memberi penerangan mengenai penyelenggaraan cerun di kawasan persendirian bagi kesedaran berhubung tanda-tanda awal kejadian tanah runtuh supaya tindakan pencegahan dapat diambil.

"Melalui perkongsian maklumat mengenai tanah runtuh dengan warga kota, ia dapat membantu penduduk setempat untuk menjadi lebih proaktif dan bersedia apabila berlaku insiden tanah runtuh serta mengetahui aspek-aspek keselamatan yang perlu diambil perhatian," katanya.

 

Bernama