DBKL - 147 daripada 175 pokok berisiko telah ditebang

oleh Penyumbang Rencana|
gambar hiasan
Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah melantik kontraktor untuk menjalankan kerja pemeriksaan pokok berusia lebih 30 tahun atau yang mempunyai ukur lilit melebihi 1.5 meter sejak 2019.

Unit Media DBKL memaklumkan, sehingga kini sebanyak 175 pokok telah dikenal pasti berisiko tinggi iaitu sebahagian besarnya berusia melebihi 50 tahun yang 147 daripadanya telah ditebang.
CHERY TIGGO 7 PRO Launch MREC Banner Campaign June 2024

Menurutnya, pemeriksaan berkala dilaksanakan oleh Arborist bertauliah dan pemeriksaan terakhir dilakukan pada Februari lalu dengan 28 pokok telah dikenal pasti akan ditebang dalam tempoh terdekat.

"Pokok berisiko merujuk kepada pokok yang berpotensi tinggi untuk mengalami kegagalan struktur dan tumbang.

"Ia dikenal pasti melalui penggunaan resistograph dan penilaian visual bagi mengesan kecacatan pada pokok seperti dahan dan akar yang rosak atau reput, struktur pokok condong atau tidak seimbang dan rekahan pada dahan serta pangkal pokok," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Pada Selasa, seorang maut manakala seorang lagi cedera dalam kejadian pokok tumbang di Jalan Sultan Ismail yang turut menyebabkan 17 kenderaan terjejas.

Pokok berkenaan dipercayai berusia lebih 50 tahun dan berada di atas tanah persendirian yang penyelenggaraan adalah di bawah tanggungjawab pemilik tanah.

Berdasarkan Pelan Pembangunan Landskap yang diluluskan pada tahun 2022 dinyatakan untuk dikekalkan.

Menerusi kenyataan sama DBKL berkata, pihaknya mengguna pakai Pelan Pengurusan Pokok Rendang DBKL terbitan 2019 yang merujuk kepada pelbagai agensi seperti Jabatan Landskap Negara, Persatuan Arborist Malaysia, Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM), Institute of Landscape Architects Malaysia (ILAM) dan lain-lain.

"Penilaian risiko pokok mempunyai tiga tahap dengan mengambil kira keadaan fizikal pokok di tapak.

"Sekiranya keadaan fizikal pokok tidak memuaskan, penilaian lanjut akan dilakukan dan seterusnya tindakan mitigasi seperti cantasan, rawatan akar atau penebangan akan diambil seperti terkandung di dalam pelan berkenaan," ujar kenyataan tersebut.

Tambah kenyataan itu, DBKL kini sedang menambah baik Pelan Pengurusan Pokok Rendang dan menyediakan garis panduan baharu dengan memfokuskan kepada pokok berusia dan berisiko tinggi yang dijangka akan siap pada Julai ini.

Susulan kejadian Selasa lalu, DBKL akan membantu untuk memudah cara sebarang tuntutan mangsa terlibat kepada pihak yang sewajarnya dengan menghubungi talian 03-2617 9509 (Jabatan Kewangan) atau 03-2617 9236 (Jabatan Undang-Undang dan Pendakwaan.

 

Sinar Harian

Berita Berkenaan

Berita Domestik
"Sementara kekerapan insiden pokok tumbang sepanjang tahun 2023 adalah 4,828 kes di seluruh negara…
Berita Domestik
  Selepas melawat warga Lembah Pantai yang terjejas akibat ribut baru-baru ini, saya bertemu…
Berita Domestik
Berkongsi detik cemas insiden tersebut, Pegawai Media Ab. Rauf, Shahnor Samsudin berkata, sebaik…