"Kita meletakkan sasaran untuk bakat yang ada kerana pasukan mahukan pelumba cemerlang," katanya.
"Kita nak serap masuk apabila mereka (benar-benar) kompetitif. Tahun ini mereka belum bersedia lagi.
"Saya percaya mereka akan diberi satu tahun lagi untuk selesakan diri di kejuaraan CEV dan melakukan yang terbaik. Cuba capai dengan sasaran ditetapkan. Apabila capai, baru boleh menyenaraikan mereka ke kejuaraan dunia bersama pasukan di Moto2 atau Moto3. Itu harapan kita.
"Sekiranya pelumba pelapis kita capai sasaran ditetapkan pada tahun ini dan tahun depan, InsyaAllah tahun 2022 kita akan lihat minimum seorang pelumba di Moto3 ataupun Moto2.
"Buat masa ini, kita sedang membangunkan beberapa pelumba, Adam (Norrodin) di Kejuaraan CEV Moto2 Eropah dan Damok (Syarifuddin Azman) di Kejuaraan CEV Moto3 Remaja Dunia selain Juan (Muhammad Sharul Ezwan Sharil di European Talent Cup). Jadi sekiranya mereka buat yang terbaik, itu adalah masa mereka untuk menyertai pasukan pada tahun 2022."
Adam yang mempunyai pengalaman beraksi di pentas dunia dalam kelas Moto3 dan juga Moto2 ketika menggantikan Khairul Idham Pawi musim lalu, setakat ini berada di tangga ketujuh keseluruhan dalam carta pelumba Moto2 Eropah.
Adam ketika ini ketinggalan 22 mata di belakang penghuni tangga kelima dari Jepun, Taiga Hada tatkala saingan hanya berbaki dua pusingan lagi, masing-masing di Litar Ricardo Tormo pada 31 Oktober dan 1 November ini.
Pelumba berusia 22 tahun yang mewakili pasukan Liqui Moly Intact SIC Junior Team itu diletakkan sasaran untuk menamatkan saingan musim 2020 di kelompok lima terbaik keseluruhan.
Baru-baru ini, PETRONAS Sprinta Racing Team mengumumkan tidak menyambung khidmat Khairul Idham Pawi dalam kem Moto3 bagi musim depan sekali gus mengundang pelbagai pandangan mengenai keputusan pasukan milik Malaysia ini.