Dari konsep ke model sebenar; indah khabar dari rupa! Ia bukan semudah itu

oleh Careta.my|
Topik hangat perbincangan antara peminat automotif tempatan mahupun di luar negara adalah tentang rekabentuk sesebuah kenderaan.


Ramai yang teruja dengan rekabentuk konsep untuk kereta dan kenderaan yang dihasilkan dan pasti ada yang mempertikaikan kenapa kereta/kenderaan konsep itu tidak direalisasikan sepenuhnya!
LEXUS MREC Banner Campaign August 2024

Ada yang bertanya kenapa hasil yang keluar tidak secantik konsep, malah tidak kurang juga mereka yang sedikit pedas dan mengeluarkan perkataan-perkataan yang tidak sepatutnya, umpama perekabentuk kenderaan itu tidak pandai membaca dan tidak mempunyai hati dan perasan.

 

Tidak mengapa, kerana memang sudah menjadi pengetahuan umum di dalam industri ini bahawa ada pengguna yang merasakan pembikinan kenderaan ini mudah.

 

Di sini kita bincangkan secara ringkas kitaran rekabentuk kenderaan dan mungkin juga jawapan kepada beberapa persoalan yang timbul.

 

 konsep 1

 

 

Apa itu kereta konsep

  • Kereta konsep adalah antara perkara paling glamour di dalam industri automotif.
  • Ia umpama model-model di majalah fesyen, dan kita semua tahu yang akan membeli pakaian itu langsung tidak secantik model-model yang memperagakan produk itu.
  • Kegunaan utama kereta konsep ialah untuk memantau kehendak pasaran, samada rekabentuk itu diterima atau tidak.
  • Syarikat kenderaan akan membayar agensi profesional untuk membuat kaji selidik dan segala laporan akan dibincangkan di antara pasukan yang terbabit dalam pembangunan produk baharu itu.
  • Sebelum kereta konsep dihasilkan, jurutera akan melakukan pelbagai ujian simulasi di dalam komputer untuk memastikan rekaan konsep itu hampir mampu untuk dibina.

 

 

maybach konsep

 

  • Ada juga kereta konsep yang sudah lengkap dengan enjin (selalunya bukan enjin yang digunakan untuk produk sebenar). Ini untuk memudahkan ujian-ujian pengendalian dan praktikaliti dilakukan dengan lebih mudah.
  • Pembikinan kereta konsep juga adalah satu latihan praktikal kepada perekabentuk kenderaan. Ini bermakna, styling atau gaya rekaan itu lebih penting dan diberi keutamaan.
  • Kereta konsep turut digunakan untuk memberi "petunjuk" akan halatuju rekabentuk sebuah syarikat kenderaan.
  • Ada ketikanya kereta konsep digunakan sebagai "penghalang" bakal pembeli dari membeli produk pesaing dan menunggu produk mereka dilancarkan.
  • Kerana itulah kereta konsep sering nampak hebat dari model sebenar yang akan dihasilkan.

 

 

Apakah pula faktor-faktor yang menyebabkan produk sebenar nanti tidak menyerupai atau tidak sehebat kereta konsepnya? Ada banyak sebab-sebab dan di sini kami kongsikan beberapa.

 

konsep 3

 

 

Kos pembuatan

  • Sebelum kenderaan itu dibina, bahagian Perancang Produk sudahpun tahu berapa julat harga model itu akan dijual.
  • Kerana itu, jurutera akan mengira kos pembinaan model tersebut.
  • Semakin rumit bentuknya, semakin mahal harganya.
  • Dan semakin kompleks lampu-lampu (lampu LED nampak cantik, tapi kos pembuatan sangat tinggi), semakin besar roda aloi, semakin gempak barisan lampu LED pada kereta itu, maka semakin tinggi kos pembuatannya.
  • Untuk memastikan model itu dibina dengan kos yang terkawal, perkara-perkara yang mantap pada model konsep itu akan dibuang.

 

 

triton concept

 

Kerumitan pembinaan

  • Model konsep boleh dibina dengan menggunakan clay (tanah liat jenis industri) atau kayu atau gentian.
  • Oleh itu, ia mampu mempunyai panel-panel luaran yang unik, pelik dan cantik atau kepak-kepak dan spoiler umpama sirip ikan yu atak kepak burung garuda.
  • Realitinya, produk sebenar akan dibina menggunakan kepingan logam aloi di dalam kilang oleh robot-robot. Kecualilah jika anda hendak membina supercar kerana kos tidak menjadi isu.
  • Logam mempunyai banyak had atau batasan untuk dibentuk di dalam proses pengilangan dan tidak boleh disamakan dengan fibre yang boleh dibuat menggunakan acuan.
  • Kos juga perlu dipantau kerana permukaan logam aloi yang penuh dengan pelbagai lekuk dan ombak akan mempunyai kos pembuatan yang sangat tinggi.

mazda sketch

 

 

Masalah packaging - mekanikal

  • Semasa konsep, pelukis tidak perlu memikirkan enjin yang akan digunakan.
  • Dalam erti kata lain, kereta konsep selalunya tidak ada enjin dan tidak perlu memikirkan bagaimana hendak memuatkan semua komponen teknikal kenderaan.
  • Di dalam proses dari konsep ke realiti, pihak kejuruteraan terpaksa memikirkan adakah bentuk kereta konsep itu mampu memuatkan enjin dengan dimensi yang ada dan juga alat komponen lain seperti sistem transmisi, sistem gantungan, bateri dan sebagainya.
  • Jika tidak muat, bentuk konsep akan diubah sedikit untuk memuatkan semua komponen itu.
  • Kerana itu kebanyakan model konsep slim dan sporty, tetapi bila tiba saat untuk dibina, ia terus menjadi gempal dan gemuk.

ferrari concept

 

 

Masalah packaging - ketinggian penumpang dan praktikaliti

  • Kereta konsep sering mempunyai bahagian bumbung yang rendah dan sporty, tetapi secara realitinya, kereta konsep tidak perlu memuatkan lima orang penumpang dan tidak perlu ada tempat letak barang.
  • Malah kereta konsep tidak perlu memuatkan manusia pun, terutama lakaran-lakaran.
  • Kereta konsep juga tidak memikirkan masalah ergonomik pengguna, dan ini adalah satu sains yang sangat rumit.
  • Kenderaan sebenar perlu praktikal dan memuatkan penumpang bersaiz dewasa dan mempunyai tempat letak barang yang memadai kerana jika tidak, anda akan melihat ribuan “pakar permotoran” yang akan menyumpah seranah kenderaan itu di laman web dan media sosial kerana mempunyai ruang kabin yang sempit dan tempat letak barang sebesar empat kotak kasut Warrior.

 

 

pix mer

 

Faktor keselamatan

  • Kenderaan konsep juga tidak perlu memikirkan faktor-faktor keselamatan.
  • Ini bermakna, kereta konsep tidak perlu memikirkan masalah perlu ada ruang dalam seinci antara penutup enjin (hood) dengan enjin agar ia lulus ujian perlanggaran pejalan kaki.
  • Kereta konsep juga tidak perlu memikirkan struktur dalaman yang kuat untuk memastikan kenderaan lulus ujian perlanggaran dari hadapan, sisi, belakang dan atas.
  • Kereta konsep juga tidak perlu fikir akan ruang bamper dan untuk enjin itu “jatuh” jauh dari kawasan kabin penumpang.

 

 

Secara ringkasnya, walaupun menghasilkan sebuah lakaran kereta konsep di atas skrin memerlukan daya kreativiti dan kemahiran yang tinggi, ia masih jauh lebih mudah dari menghasilkan model “production” yang akan dijual kepada orang ramai.  

 

Memang ada juga model kenderaan yang dijual itu hampir sama dengan model konsep, tetapi ini selalunya terjadi pada jenama mewah kerana syarikat kenderaan itu mampu meletakan harga yang tinggi kepada produk mereka.

 

Sekarang ini mungkin kita lebih memahami kepada ada jurutera-jurutera automotif dan pakar-pakar Perancang Produk akan berdiri mengetap gigi kerana geram bila melihat seorang pelukis melakar sebuah model konsep yang ultra canggih dan memberikan harapan kepada peminat-peminat mereka.

 

Harapan yang selalunya sukar ditunaikan kerana jika ia mudah, sudah pasti Perodua Myvi dan Proton Iriz akan mempunyai bentuk seperti sebuah Lamborghini Aventador dan tanda harga RM60,000 atau RM70,000.

 

multi pic

Berita Berkenaan

Berita Global
Ia menampilkan trenkuasa plug-in hybrid 1.5 liter (PHEV) yang menawarkan jarak gerak elektrik…
Berita Global
Walaupun digelar sebagai 'kereta terbang', secara asasnya ia adalah sebuah quadkopter dengan…
Berita Global
Menurut Daihatsu, kereta "open-top" tanpa bumbung ini sesuai untuk mereka yang suka menikmati udara…