Untuk tahun 2023, DAMN memperkemaskan lagi penawaran kit badan Little G dengan tiga variasi yang dinamakan sebagai Advance, Traditional dan Adventura.
Kit Traditional (gambar utama) lebih menyerupai model asal G-Class dengan penampilan jeriji hitam yang tidak dicat, kemasan sekeliling lampu utama, bampar dan juga penambahan pada fender tayar.
Ia diserikan dengan rim stail retro, diikuti dengan lampu kuning pada bahagian bampar depan serta lampu belakang yang lebih nipis.
Little G Adventura berwarna hijau itu pula mengambil inspirasi daripada model talaan AMG, di mana ia dipadankan dengan liang kemasukan palsu, aksen keluli pada bampar, rim aloi stail BBS, rak bumbung yang lebih besar, diikuti dengan unit lampu LED tambahan dan pelindung tayar simpanan yang lebih agresif.
Sementara Little G. Advance pula membawakan terus rekaan jeriji Panamericana pada bahagian hadapan, diikuti dengan kemasan warna dua tona, serta penutup tayar simpanan yang lebih kemas penampilannya.
Selain Jimny, DAMD turut membawakan Suzuki Every yang didatangkan dengan kit badan Little D - mengambil inspirasi daripada Land Rover Defender klasik.
Van kecil itu dipadankan dengan khemah bumbung, lampu LED PIAA, tayar Toyo Open Country R/T dan bampar off-road, serta cagak untuk kegunaan storan peralatan pertukangan.
Akhir sekali, Suzuki Hustler Country, sebuah lagi keicar yang menerima sentuhan daripada DAMD.
Kemaskini terbaharu ini turut membawakan gaya off-road seperti kehadiran rak bumbung retro, tayar off-road, rekaan jeriji serba baharu, serta penambahan perlindungan fender yang lebih besar.
Kesemua model ini boleh dilihat menerusi reruai DAMD pada acara Tokyo Auto Salon 2023 yang akan berlangsung pada bulan depan.