Dalam tempoh kurang 4 tahun Pulau Pinang rekod 38 kemalangan babit pemandu mabuk

oleh Penyumbang Rencana|
foto hiasan
Sebanyak 38 kes kemalangan jalan raya membabitkan pemandu bawah pengaruh alkohol direkodkan di Pulau Pinang dalam tempoh kurang empat tahun hingga April lalu.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow, berkata jumlah itu membabitkan enam kes pada 2023, menurun kepada lima kes pada 2024, sebelum kembali meningkat kepada masing-masing 13 kes pada 2025 dan 14 kes tahun ini setakat April lalu.

Beliau berkata, pelbagai langkah penguatkuasaan telah diambil bagi membendung kes pemandu mabuk di jalan raya, termasuk menjalankan Op Mabuk secara berkala di kawasan kerap berlaku kemalangan pada waktu malam dan lokasi tumpuan seperti sekitar pusat hiburan.

"Selain itu, operasi bersepadu turut dilaksanakan bersama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi memperkukuhkan penguatkuasaan di jalan raya.

"Bagi aspek pencegahan pula, kerajaan negeri melaksanakan Op Didik dan program advokasi di lokasi tumpuan awam seperti pusat beli-belah, kilang serta sekolah, bagi meningkatkan kesedaran masyarakat," katanya dalam jawapan bertulis pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang, pada Rabu.

Beliau menjawab soalan Mohd Sobri Saleh (PAS-Permatang Berangan) mengenai jumlah kemalangan membabitkan pemandu mabuk, dan langkah penguatkuasaan serta pencegahan bagi meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai bahaya memandu bawah pengaruh alkohol.

Menjelaskan lanjut, Kon Yeow berkata, kempen kesedaran turut diperkasakan melalui platform media sosial termasuk Facebook dan TikTok, selain siaran radio serta televisyen bagi mendidik orang ramai mengenai bahaya memandu bawah pengaruh alkohol.

Beliau yang juga EXCO Kewangan, Pembangunan Ekonomi, Tanah dan Komunikasi menegaskan pendekatan penguatkuasaan serta pendidikan secara serentak akan diteruskan bagi mengekang peningkatan kes, di samping meningkatkan keselamatan pengguna jalan raya di negeri ini.

Harian Metro

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Menerusi kenyataan rasmi yang dikeluarkan hari ini, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook,…
Berita Domestik
Pertuduhan mengikut Seksyen 44 (1)(b) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman…
Berita Domestik
Persatuan Pelajar Jabatan Kejuruteraan Mekanikal Politeknik Ibrahim Sultan, Pasir Gudang dalam satu…