Daihatsu Motor bangunkan 10 model spesifik untuk Asia Tenggara menjelang 2025, khususnya Malaysia dan Indonesia

oleh Mohamad Hanif|
Melihatkan kepada kejayaan yang dikecapi oleh model terbaharu Daihatsu Rocky/Toyota Raize/Perodua Ativa, Daihatsu Motor merancang untuk menggandakan usaha menghasilkan kenderaan yang khusus untuk pasaran Asia Tenggara, dimulakan dengan Malaysia dan Indonesia.
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
HONDA CR-V MREC Banner Campaign March 2024

Selain daripada mengadaptasikan kaedah produksi berkos rendah yang dibangunkan di Jepun untuk pasaran tersebut, Daihatsu juga merancang unutk memperkenalkan 10 buah model baharu menjelang tahun 2025.

Menurut eksekutif Daihatsu, "kami akan berterusan untuk mengeksport kenderaan mampu milik untuk pasaran-pasaran baharu menerusi jaringan jualan Toyota pada ketika ini, namun kami harus membangunkan saluran tempatan kami untuk meningkatkan jualan di pasaran baharu itu.

Pasaran baharu amat penting buat pengeluar Jepun itu, memandangkan ia mampu bertindak sebagai pelopor buat syarikat induk Toyota Motor.

 


Mac lalu, Daihatsu menerusi Perodua telah melancarkan model Ativa, SUV saiz kecil yang dibangunkan daripada model asas Daihatsu Rocky/Toyota Raize.

Menariknya, walaupun struktur keseluruhan SUV itu kekal sama, Perodua Ativa telah direka untuk memenuhi keperluan pemanduan tempatan, seperti mana yang diulas oleh Nobuhiko Ono, timbalan ketua pegawai penyelidikan dan pembangunan Daihatsu yang turut sama mengetuai pembangunan Rocky.

Menurut beliau, disebabkan Malaysia mempunyai banyak jaringan lebuh raya, kereta selalunya akan dipandu pada kelajuan yang tinggi.

"Kami harus memikirkan bagaimana cara untuk menanganinya," ujar beliau.

Ono turut mengkaji laporan yang merujuk kepada tahap keperluan pemandu tempatan, dan salah satu penambahbaikan yang dibuat adalah memperbaiki respon brek, di mana kebanyakan pemandu merasakan kurang selamat sekiranya brek yang terlalu lembut.

Selain daripada itu, salah satu saranan yang diterima oleh pasukan Ono adalah sistem butang khas yang membolehkan penumpang mengunci kenderaan tatkala pemandu tiada bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini berlaku seperti rampasan kereta oleh pihak ketiga.

 

 

Untuk model Rocky di Indonesia, pihak Daihatsu menggunakan pendekatan yang serupa seperti di Malaysia, di mana ia perlu beraksi cemerlang di atas laluan yang tidak rata memandangkan kebanyakan jalan di sana masih lagi belum terturap dengan sempurna.

Kesemua ini mampu dicapai, terima kasih kepada penggunaan teknologi casis yang dinamakan sebagai Daihatsu New Global Architecture (DNGA), di mana pembangunan SUV ini dimulakan pada sekitar tahun 2017 lagi.

Pada ketika itu, pasukan yang diketuai oleh Ono menolak permintaan untuk menghasilkan SUV yang lebih besar dan menekankan kepakaran Daihatsu di dalam penghasilan kereta-kereta kecil.

Ono percaya, pembangunan model baharu ini sewajarnya menggunakan kepakaran Daihatsu di dalam pembuatan kereta kecil untuk membezakannya dengan pengeluar lain, dan disebabkan itu, Daihatsu Rocky memiliki dimensi yang sedikit besar berbanding standard Jepun untuk kereta-kereta kei.

"Kebanyakan pemandu wanita dan golongan tua cuba mengelak daripada membeli SUV, disebabkan sukar untuk dikendalikan di kawasan yang sempit. Kami fikir, SUV kecil seperti Rocky ini mampu memenuhi keperluan mereka," tambah Ono.

Resepi yang digunapakai oleh Daihatsu menjadi, lima bulan pertama pelancaran Daihatsu Rocky mencatatkan tempahan melebihi 10,000 unit atau lima kali ganda lebih daripada jangkaan asal.

Malah di Malaysia, kadar penjualan bagi Perodua Ativa kini mencecah angka 4,000 hingga 5,000 unit per bulan.

Selain daripada Malaysia dan Indonesia, Daihatsu juga turut mengeksport Rocky ke 50 pasaran baharu yang lain seperti Asia Tenggara, dan Amerika Latin di bawah jenama Toyota.

Sumber: Nikkei Asia

Berita Berkenaan

Berita Global
Ia berikutan arahan untuk menghentikan jualannya selepas syarikat itu terlibat dengan isu penipuan…
Berita Global
Daihatsu bercadang untuk menambah jumlah ujian pensijilan kualiti kepada pekerja-pekerjanya…
Berita Global
Tiga model yang dimaksudkan itu ialah Daihatsu Gran Max, Toyota Town Ace serta Mazda Bongo. Tiada…