Mengutip informasi daripada laman web automotif Jepun BestCarWeb.jp, mereka berjaya menemubual individu yang terlibat di dalam projek tersebut dan mengesahkan dua buah model yang bakal dilancarkan pada tahun ini.
Salah satu daripadanya adalah sebuah minivan yang bakal menampilkan trenkuasa hibrid dan ia akan berkongsi platform yang sama digunakan pada Daihatsu Rocky/Toyota Raize/Perodua Ativa.
Laman web BestCarWeb turut menyenaraikan kemungkinan enjin hibrid yang bakal dimuatkan adalah enjin 1.5 liter petrol aspirasi natural dengan bantuan motor elektrik daripada Toyota, manakala versi asas pula mungkin sekali didatangkan dengan enjin 1.3 liter dengan bantuan mild-hybrid.
Selain daripada trenkuasa hibrid, minivan baharu ini mampu menempatkan sehingga tujuh orang pada satu-satu masa (tiga baris tempat duduk) dan memiliki dimensi yang lebih kecil berbanding Toyota Sienta.
Jika anda masih ingat, konsep yang sama pernah diperlihatkan menerusi model DN-Multisix yang muncul pada acara Tokyo Motor Show 2017 di mana ia disebut-sebut sebagai model pengganti Daihatsu Xenia (Toyota Avanza).
Jadi adakah model minivan hibrid ini bakal menjadi Alza generasi baharu?
Masih lagi terlalu awal untuk berkata sedemikian, namun Perodua dalam satu sidang media baru-baru ini mendedahkan mereka kini sedang dalam perbincangan dengan Daihatsu untuk memperkenalkan model yang dielektrifikasi (hibrid) pada masa akan datang.
Menurut bos besar Perodua, Datuk Zainal Abidin Ahmad mengesahkan model Ativa yang dilancarkan baru-baru ini tidak akan menerima varian hibrid, akan tetapi ia bakal ditawarkan pada model akan datang.
Adakah model yang dimaksudkan itu Alza generasi baharu?
Sumber: BestCarWeb.jp