Dacia Spring EV - kereta elektrik dengan pecutan 0-100 dalam masa bawah 20 saat!

oleh Mohamad Hanif|
Trenkuasa elektrik mempunyai satu ciri yang tidak terdapat pada enjin konvensional, iaitu daya kilas segera yang boleh dinikmati saat pedal pendikit ditekan.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Beberapa contoh telah pun kami uji sebelum ini, daripada kereta kecil Renault Zoe, Nissan LEAF, serta sedan elektrik Porsche Taycan 4S yang membuat kemunculan rasmi di pasaran Malaysia tahun lalu.

Namun, tidak semua kenderaan elektrik direka untuk menjadi juara pecutan di persimpangan lampu isyarat, dan salah satu contoh terbaik adalah Dacia Spring EV.

 


Dacia Spring EV merupakan sebuah kenderaan elektrik yang dikhususkan untuk kegunaan laluan urban, dengan berat sekitar 970 kg, pek bateri 27.4 kWh, dan jarak operasi sejauh 305 km (data WLTP).

Angka output pula amat rendah, 45 PS dan 125 Nm sahaja, dan ia ditambah dengan prestasi pecutan yang amat tidak memberangsangkan minda.

 


Bayangkan, pecutan 0-100 km/j mengambil masa kira-kira 19.1 saat, dan pecutan dari 80-120 km/j pula memerlukan masa 26.2 saat, dengan kelajuan maksimum dihadkan kepada 125 km/j sahaja.

Masa pengecasan pula mengambil masa kira-kira 13.32 jam dengan menggunakan pengecas 2.3 kW, dan boleh dipendekkan kepada 4.51 jam dengan menggunakan Wallbox 7.4 kWh.

Sistem pengecasan pantas turut disokong, di mana anda boleh mengecas dari sifar ke 80 peratus dalam masa 56 minit sahaja.

 


Dari segi dimensi, Dacia Spring EV membawakan ukuran sepanjang 3,734 mm, 1,770 mm lebar dan tinggi 1,516 mm dengan jarak antara roda sepanjang 2,423 mm, menjadikan dimensinya lebih dekat dengan model Twingo.

Sementara papan pemuka Dacia Spring EV pula adalah sama seperti yang terdapat pada model Renault City K-ZE, serta lengkap dengan peralatan standard seperti stereng berkuasa elektrik, sistem kekunci pusat, tingkap berkuasa pada keempat-empat sudut, dan skrin digital 3.5 inci pada hadapan pemandu.

Sistem pendingin hawa pula adalah jenis manual, sementara sistem infotainmen pula didatangkan dengan skrin paparan bersaiz tujuh inci yang lengkap dengan sambungan Apple CarPlay dan Android Auto, Bluetooth dan USB.

 


Tempahan untuk model Dacia Spring EV sudah pun dibuka dan ia akan disertai dengan model Spring Business (untuk perkhidmatan perkongsian kenderaan), serta versi utiliti yang digelar sebagai Spring Cargo.

Dacia Spring Cargo memiliki keupayaan untuk mengangkut muatan seberat 325 kg dengan muatan sebesar 1,100 liter.