
Jentera itu menggunakan kepakaran Renault Group dan Prodrive dan dibangunkan mengikut peraturan kategori T1+.
Pembangunan Sandrider turut melibatkan maklum balas dan pengetahuan pemandu dan pemandu arah sejak dari awal projek dan menariknya menggunakan realiti maya.
Sandrider direka sendiri pereka Dacia dan sebagai sebuah Dacia, bahagian luar jentera ini hanya dilengkapi perkakasan penting sahaja.

Sebagai contoh panel badan yang kritikal dan tiada hiasan atau perkakasan yang tidak perlu dengan penekanan diberi kepada aerodinamik.
Pada bahagian dalam, pereka dan jurutera Dacia memberi tumpuan khas pada keperluan, kebiasaan dan halangan pemandu dan pemandu arah.
Papan pemuka jenis modular membolehkan pasangan pemandu menyesuaikan ciri ergonomik dan bentangan beberapa perkakasan mengikut pilihan sendiri.

Perlumbaan Dakar dan rally raid satu daripada sukan permotoran yang mencabar di dunia dan memerlukan pendekatan lasak dan aktiviti luar Dacia diangkat ke tahap ekstrem.
Untuk itu, jentera diperkukuhkan dengan subkerangka dan bampar disatukan, badan karbon, suspensi double wishbone dan kotak gear 4x4 untuk perlumbaan mencabar.
Ciri praktikal diterjemahkan lagi pada tali pinggang keledar Sabelt dengan balutan fabrik anti bakteria yang mempunyai tindak balas sendiri pada kelembapan.

Tayar ganti dibiar terbuka supaya mudah digunakan begitu juga perkakasan lain tanpa perlu membuka kotak.
Satu ciri menarik ialah plet magnetik pada badan Sandrider supaya bolt roda tidak hilang di dalam pasir. Idea itu diilhamkan melalui pengalaman pemandu pasukan.
Mengharungi padang pasir ialah tayar BF Goodrich generasi baharu yang menyalurkan kuasa 360 bhp dan tork 539Nm.

Berlumba tidak bermakna alam sekitar diabaikan. Para jurutera berusaha dengan bersungguh bagi menjadikan Sandrider lebih ringan dan kurang menggunakan bahan api.
Berat keseluruhan berjaya diturunkan sekitar 15 kilogram (kg) berbanding prototaip setara susulan penggunaan casis tiub lebih ringan.
Panel badan Sandrider hanya yang diperlukan sahaja selain penggunaan bahan karbon.

Para pereka turut menanggalkan perkakasan hiasan dan jurutera memilih enjin lebih kompak dan ringan.
Bagi mengoptimumkan cengkaman dan prestasi dinamik, pembahagian berat dilebihkan pada bahagian depan.
Penggunaan bahan api berjaya diturunkan melalui penekanan pada aerodinamik di samping meningkatkan prestasi.
Para jurutera berjaya mengurangkan seretan sebanyak 10 peratus dan angkatan sebanyak 40 peratus berbanding prototaip setara.

Turut diberi perhatian laluan udara yang menyejukkan enjin.
Bagi mengekalkan suhu rendah di dalam kabin, pereka menggunakan pigmen anti inframerah yang dipasang terus pada panel badan karbon.
Enjin 3.0 liter V6 turbo berkembar Sandrider disuap bahan api sintetik yang dibekalkan Aramco.

Sébastien Loeb yang merupakan juara sembilan kali Kejohanan Rali Dunia (WRC) bakal ditemani pemandu arah Fabian Lurquin.
Nasser Al-Attiyah pula juara lima kali Piala Dunia Rali Cross-Country dan dua kali juara Kejohanan Dunia Rally Raid.
Seorang lagi pemandu ialah pemenang kategori T3 Piala Dunia Rali Cross-Country, Cristina Gutierrez Herrero dan dan pemandu arah Pablo Moreno Huete.
Penulis: Muhammad Md Tajudin
