D55L, X50, Kicks, Seltos, CX-3, HR-V - Mana satu paling best?

oleh Mohamad Hanif|
Tahun 2020 bakal dimeriahkan dengan kehadiran beberapa buah model SUV yang akan berentap di dalam segmen SUV aras mula, atau segmen B senang cerita.
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
HONDA CR-V MREC Banner Campaign March 2024

Jadi, untuk menyenangkan kerja anda membanding dan membezakan model SUV yang bakal mendarat tidak lama lagi, kami sediakan untuk anda enam buah model SUV, terdiri daripada empat model baharu dan dua buah model sedia ada di dalam pasaran. 

Perbandingan yang paling kerap dibuat sudah tentu melibatkan dua buah model dari syarikat kereta nasional tempatan, Perodua dan Proton. 

Jadi, mari kita lihat serba sedikit spesifikasi yang bakal ditawarkan bagi memudahkan anda menilai sendiri dan memilih SUV pilihan untuk dibawa pulang. 

 


Dimensi

Berdasarkan jadual di atas, dimensi yang bakal dibawakan oleh Perodua D55L (mengambil dimensi Toyota Raize) antara yang paling kecil ditawarkan berbanding senarai SUV di dalam jadual. 

Namun, realiti sebenar perlu dilihat setibanya SUV tersebut rasmi dilancarkan, apatah lagi kita sudah sedia maklum kebolehan Perodua (dan Daihatsu) dalam memanipulasi ruang di dalam kereta yang kecil molek itu. 

Secara perbandingan, Kia Seltos jelas merupakan SUV yang paling besar, malah jarak antara roda juga jauh melebihi model-model lain. 

Ruang kargo sebesar 433 liter juga dilihat hampir menyamai ruang kargo yang ditawarkan oleh Honda HR-V (437 liter).

Ruang kargo paling kecil? Geely Binyue a.k.a Proton X50, kalah kepada Mazda CX-3 yang memiliki ruang sebesar 350 liter.
 


Enjin

Trend penurunan kapasiti enjin dengan menawarkan nadi berinduksi paksaan turbo telah berjaya 'menjangkiti' kebanyakan pengeluar utama dunia. 

Lihat sahaja Toyota GR Yaris (maaf lari tajuk sebentar), didatangkan dengan enjin tiga silinder sebaris 1.6 liter turbo. 

Dua buah SUV tempatan - Perodua D55L dan Proton X50 - dilihat tergolong di dalam keluarga enjin tiga silinder sebaris turbo. 

Perodua baru-baru ini telah sah menawarkan enjin 1.0 liter turbo pada SUV terbaharunya, menghasilkan 98 hp dan 140 Nm yang digandingkan dengan transmisi D-CVT. 
 


Jarak Kelegaan Tanah 

Kita semua tahu, jalan raya Malaysia ini sangatlah cemerlang, gemilang dan terbilang, jadi SUV perlu memiliki jarak kelegaan tanah yang mencukupi untuk mengharungi segala halangan yang mendatang. 

Daripada senarai yang ada, Mazda CX-3 jelas memiliki jarak kelegaan tanah yang lebih rendah, iaitu 155 mm manakala Perodua D55L pula duduk ditengah-tengah dengan jarak kelegaan tanah setinggi 185 mm. 

Nissan Kicks (yang bakal memasuki pasaran Malaysia) dilihat menawarkan jarak kelegaan tanah yang cemerlang, iaitu setinggi 210 mm. 

Sementara itu, Proton X50 pula menawarkan jarak dari tanah setinggi 196 mm, lebih sedikit daripada jarak yang ditawarkan oleh Kia Seltos. 
 


Radius Pusingan 

Sebagai sebuah kenderaan yang digunakan untuk kehidupan seharian, ia juga perlu mempunyai kelebihan dari segi pemanduan yang mudah untuk dikendalikan, terutama di jalan-jalan bandar.

Antara aspek yang dilihat sudah tentu merujuk kepada jarak bulatan atau putaran yang terkecil boleh dicapai apabila stereng dipulas penuh. 

Kelebihan memiliki radius putaran yang lebih kecil boleh dilihat menerusi tindakan anda mengambil pusingan U, terutama di jalan yang sempit atau lokasi paling ideal - pusat membeli belah.

Dalam hal ini, Perodua D55L memiliki radius pusingan yang lebih kecil, iaitu 5 meter sahaja, manakala SUV-SUV lain memiliki jarak pusingan yang lebih kurang serupa, dengan julat dari 5.2 meter sehingga 5.3 meter. 
 


Ciri keselamatan

Melihatkan kepada penawaran pada model premium, anda boleh jangkakan ciri-ciri yang standard seperti enam beg udara, ABS, EBD, Kawalan Cengkaman dan Kawalan Kestabilan Elektronik. 

Perodua juga kini sudah mula melengkapkan model tertinggi mereka dengan ciri Advanced Safety Assist 2.0 (ASA 2.0) yang merangkumi 

  • Amaran Pra-Pelanggaran (FCW) (4-100 km/j)
  • Sistem Brek Pra-Pelanggaran (PCB) (4-80 km/j)
  • Sistem Amaran Pergerakan Hadapan (FDA)
  • Kawalan Kesilapan Operasi Pedal (PMC)

Namun, spesifikasi Proton X50 (Geely Binyue) juga tidak kurang menarik dengan keupayaan pemanduan autonomi Tahap Kedua (Level 2) yang merangkumi ciri-ciri seperti Sistem Bantuan Parkir, Bantuan Kekal Laluan dan Amaran Titik Buta.

Pengeluar-pengeluar lain juga sudah mula mengikut jejak langkah syarikat nasional tempatan dalam usaha memberikan pakej yang terbaik kepada rakyat Malaysia. 

Mengambil kira Kia Picanto GT (maaf terkeluar tajuk sekali lagi), hatchback kerdil itu sendiri sudah pun mempunyai ciri Brek Kecemasan Autonomi, Amaran Pra-Pelanggaran dan juga Sistem Pemantauan Tekanan Tayar (TPMS). 
 


Kos Servis

Sebelum terlupa, ingin kami ingatkan anda bahawa beli kereta bukanlah sekadar membeli dan memandu tanpa mengambil kira kos-kos yang berkaitan, seperti kos penyelenggaraan. 

Semua orang mahu kereta baharu, tapi tak semua yang prihatin kos-kos yang datang disebalik teknologi baharu yang diperkatakan. 

Selalunya setiap pengeluar akan menerbitkan senarai kos-kos yang berkaitan seperti kos alat ganti, kos penyelenggaraan mengikut jadual, jadi selalulah ringankan tangan menyemak kesemua item yang disebutkan untuk kesenangan dan ketenangan hidup di masa hadapan. 

 


Jadi, yang mana satu pilihan anda? 

Tepuk dada, tanyalah selera!

Terima kasih kepada Ajerul untuk rendering Proton X50 dan Perodua D55L!

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Maklumat ini tertiris dalam bentuk brosur produk yang mendedahkan nama sebenar, tagline, serta…
Berita Domestik
Spesifikasi ramalan adalah seperti berikut: 1.0 X lampu utama automatik LED rim aloi 16 inci tayar…
Berita Domestik
Memetik daripada laporan rakan media Paultan, Perodua D55L yang masih sarat dengan pelekat samaran…