Custom builder Joe Hungryghost - sanggup makan roti berkulat demi keluarga

oleh HEZERI SAMSURI|
Untuk ramai, nama Ahmad Junaidi Abdul Aziz tidak begitu dikenali tetapi sebut sahaja Joe Hungry Ghost, kaki cruiser dan custom bike pasti tahu hasil rekaan seniman berusia 38 tahun ini.

Nama Hungry Ghost itu sebenarnya nama panggilan beliau sejak dari universiti, dan walaupun ia berbunyi seperti sebuah jenaka, cerita sebenarnya jauh dari itu.

Berasal dari Kelantan, anak sulung dari 10 adik beradik ini berjaya melanjutkan pelajaran ke MRSM Pengkalan Chepa.
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
HONDA CR-V MREC Banner Campaign March 2024

Pada tahun 1999, beliau menyambungkan pelajaran beliau ke Uinversiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di Bangi dan mendapat ijazah Kejuruteraan Mekanikal. 

Beliau menjadi jurutera untuk sebuah syarikat kontraktor bagi sebuah gergasi telkominukasi tetapi berhenti dalam tahun 2006 untuk memberikan tumpuan 100 peratus kepada bengkel customnya.

Jadi dari mana ayah kepada dua orang cahaya mata ini mendapat nama gelaran unik itu? 

Kisah beliau bermula selepas beliau masuk ke UKM dan dalam masa yang sama juga, adiknya menerima tawaran untuk menyambungkan pelajaran ke Universiti Teknologi Petronas (UTP).

"Adik saya terpaksa menolak tawaran tersebut kerana keluarga kami tidak mampu," ujar Junaidi, anak peneroka Felda Kemahang 2, Tanah Merah.

 

 

Kemudiannya, adik beliau menerima tawaran untuk kursus diploma di Universiti Teknologi Malaysia di Kampus Semarak.

"Kali ini saya nekad. Saya beritahu kepada adik, kau sambung belajar. Hal duit, biar aku uruskan," terang Junaidi.

Pada semester kedua tahun pertama Junaidi di UKM, Junaidi mula mempunyai kerja sambilan.

 

er6 joe hg

 

"Dari jam 8 pagi hingga 5 petang saya akan menghadiri kuliah. Jam 5.30 petang, saya masuk bekerja di kedai kek di Warta Bangi."

"Memang kena ejeklah bila terserempak dengan kawan-kawan, tapi saya tersenyum sahaja."

"Pada masa ini, saya kutip sisa-sisa makanan dan roti yang berkulat untuk makan kerana saya perlu berjimat," ujar Junaidi dengan nada lembut.

 

 

"Sebelah pagi, saya memang akan minum Milo sahaja. Tengahari, saya akan makan mee segera yang saya kerat dua. Separuh untuk makan tengahari, separuh lagi makan malam saya."

Sebenarnya, Junaidi bukan sahaja bekerja di kedai kek kerana ia tidak mencukupi. Oleh kerana itu, selepas bekerja di kedai kek, beliau akan terus ke pusat bowling di tingkat atas bangunan Warta itu.

"Saya kerja jadi tukang bancuh air, dari jam 10 malam sehingga jam 1 pagi," sambungnya.

"Jam 2 pagi, baru saya balik ke asrama. Itu yang saya lakukan untuk pastikan pelajaran saya dan adik-adik saya tidak terganggu dengan beban kewangan."

 

 

Nama Hungry Ghost muncul kerana tabiat beliau yang akan mengetuk pintu bilik rakan-rakannya yang masih tidak tidur lagi bila beliau pulang ke asrama.

"Saya ketuk pintu bilik mereka dan bertanya ada makanan ke untuk dikongsi," terang Junaidi sambil tersenyum.

Syukurlah kawan-kawannya memahami pengorbanan beliau dan ramain yang membantu.

"Tapi itu lah, muncul nama hantu lapar balik pagi. Singkatannya, Hyngry Ghost!" 

Semasa cuti hujung minggu atau cuti semester, Junaidi bertugas sebagai Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES).

 

 

Junaidi sekarang mengusahakan bengkelnya secara sepenuh masa. Jurutera ini memang terkenal di kalangan peminat motosikal custom dan hasil kerja beliau memang popular.

Dari mengecat motosikal dan kerja-kerja modifikasi ringkas kepada pembuatan motosikal custom, Junaidi dan pekerja-pekerja bengkel beliau mampu melakukannya.

Isteri beliau, Nurhayu Kamarudin memberikan sokongan moral. Anak sulung mereka juga menjadi anak MARA selepas berjaya melanjutkan pelajaran ke MRSM Pontian.

Adik Junaidi yang belajar di UTM itu pula kini ialah Timbalan Pengarah Bomba di Bukit Jelutong.

Syabas dan tahniah Junaidi. Semoga cerita Hungry Ghost beliau ini menjadi satu sumber inspirasi kepada kita semua.

* Untuk sebarang pertanyaan akan projek custom, hubungi beliau di 012-3569062