CUPRA Tavascan, SUV EV guna platform MEB VW, pasang di China, lancar 2024

oleh Muhammad Md Tajudin|
CUPRA Tavascan
CUPRA Tavascan
CUPRA asalnya subsidiari sukan permotoran SEAT dan kini mengeluarkan barisan kenderaan sendiri. Aktiviti permotoran pula berada di bawah Cupra Racing.

Berada di bawah kumpulan automotif gergasi Volkswagen Group membolehkan CUPRA menerima manfaat besar.

Terbaru CUPRA memperkenalkan Tavascan, sebuah SUV coupé elektrik pertama dari syarikat dan model elektrik kedua selepas CUPRA Born.

Kereta ini adalah terjemahan Tavascan concept yang dipertontonkan pada pameran IAA di Frankfurt pada 2019.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

  

CUPRA Tavascan

 

Dari segi reka bentuk, CUPRA Tavascan tampil agresif dengan bampar yang menonjol dan bentuk sporti.

Sekali pandang ibarat kereta biasa yang dijana enjin pembakaran dalaman. Selain bampar, satu lagi yang menonjol ialah lampu LED matrix dengan tiga unit nyalaan berbentuk segi tiga. 

Dari sisi, pemilik dihidangkan rim besar saiz 21 inci dengan rekaan tajam ala sabit.

 

CUPRA Tavascan

 

Bahagian dalam pula sama naik seperti luar, tidak ringkas seperti kenderaan elektrik lain dan tampil dengan papan pemuka beralun corong penyaman udara berjeriji.

Reka bentuk konsol tengah juga dizahirkan melalui idea yang lari dari kebiasaan. Skrin maklumat hibur yang dibekalkan berukuran 15 inci dan paling besar untuk model CUPRA.

Turut dilengkapi sistem audio 12 pembesar suara yang dibangunkan bersama syarikat audio premium Sennheiser.

 

CUPRA Tavascan

 

Sebagai jenama berprestasi, CUPRA Tavascan dilengkapi teknologi casis dinamik DCC Sport (Dynamic Chasis Control), suspensi sport dan karakter stereng progresif. 

CUPRA Tavascan dibangunkan dari platform MEB Volkswagen Group dan ditawarkan dalam dua pilihan kuasa iaitu 286PS (210kW) dan 340PS (250kW).

Model paling berkuasa mempunyai tambahan dua motor dengan pacuan semua roda. 

 

CUPRA Tavascan

 

Dari segi prestasi, CUPRA Tavascan VZ hanya memerlukan 5.6 saat untuk memecut dari 0 hingga 100 kilometer sejam (km/j).

Jarak pemanduan pula sehingga 548 kilometer yang dibekalkan oleh pek bateri 77kWj.

Untuk pengecasan, tambahan jus dari 10 peratus hingga 80 peratus mengambil masa kira-kira setengah jam dengan pengecas 135kW.

 

CUPRA Tavascan

 

CUPRA Tavascan direka dan dibangunkan di Barcelona, Sepanyol dan selain platform Volkswagen Group, SUV ini akan dikeluarkan di kilang milik kumpulan di Anhui, China.

Sejak tampil dengan model sendiri pada 2018, jualan kenderaan CUPRA sudah melebihi 300,000 unit dan satu prestasi yang baik.

Suku pertama 2023 pula mencatatkan rekod baharu dengan lebih 46,500 unit jualan.

CUPRA Tavascan dijadual untuk dilancar pada 2024 dengan sasaran jualan lebih 70,000 ribu setahun.

 

CUPRA Tavascan

 

Penulis: Muhammad Md Tajudin