CUPRA Ateca LE, SUV berkuasa tinggi 0-100km/j bawah 5 saat!

oleh Muhammad Md Tajudin|
Sedar atau tidak, segmen SUV sedang mendominasi pasaran kereta penumpang. Contoh terdekat lihat sahaja sambutan Proton X70 dan Perodua Aruz. Itu belum dikira dengan model-model lain seperti Honda CR-V, HR-V, Nissan X-Trail dan sebagainya.

Dalam pada itu lahir pula SUV berprestasi dari Mercedes-Benz dan BMW. Masing-masing mahu mempamerkan kehebatan dan terbaru CUPRA melancarkan Ateca Limited Edition (LE).

CUPRA adalah jenama prestasi dari SEAT yang juga subsidiari Kumpulan Volkswagen dan syarikat dari Sepanyol itu hanya mengeluarkan CUPRA LE sebanyak 100 unit sahaja di United Kingdom.
LEXUS MREC Banner Campaign August 2024
CUPRA Ateca Limited Edition

 

CUPRA Ateca LE digerakkan enjin 2.0 liter TSI dengan transmisi tujuh kelajuan DSG dan pacuan 4Drive (4WD) yang mampu memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 4.9 sahaja. Kelajuan maksimum ialah 246 km/j.

Enjin model ini mengeluarkan bunyi berbeza yang disumbangkan oleh ekzos titanium dari Akrapovic. Ekzos itu turut membantu dalam mengurangkan berat keseluruhan sebanyak tujuh kilogram.  

Untuk pelanggan yang mahukan sesuatu lebih istimewa, pakej peningkatan kuasa ABT Sportsline memberikan output 350PS dan tork 440Nm. Kuasa itu melonjakkan daya kilas pada aras pertengahan seterusnya memperbaiki pemanduan dan respon sewaktu bergerak.

 

CUPRA Ateca Limited Edition

 

Pada bahagian luar, SUV berprestasi ini dilengkapi roda aloi 20 inci berwarna tembaga dan hitam, spoiler bumbung gentian karbon yang memperbaiki prestasi aerodinamik, cermin sisi dan logo CUPRA warna tembaga.

Di sebalik roda besar pada SUV ini ialah brek Brembo berukuran 18 inci yang memperbaiki daya pemberhentian.

Pada bahagian dalam dipasangkan kerusi sport bucket dengan fungsi pemanas dan dibalut dengan bahan Alcantara berwarna Petrol Blue. Turut menghiasi bahagian dalam ialah kemasan hitam dan gentian karbon.

Untuk memiliki SUV ini, pengguna perlu membayar GBP42,120 (RM225,181) bagi model berwarna Rhodium Grey dan GBP45,160 (RM241,433) untuk satu daripada 20 unit berwarna Graphene Grey dengan sistem ekzos Akrapovic.

Penulis: Muhammad Md Tajudin

 

CUPRA Ateca Limited Edition