Cuma satu kemalangan maut di Oslo sepanjang 2019!

oleh HEZERI SAMSURI|
Ibunegara Norway, Oslo hanya mencatatkan satu kemalangan maut yang membabitkan kereta pada seluruh tahun 2019.

Laporan dari akhbar tempatan Aftenposten juga menyebut bahawa tidak ada langsung kanak-kanak yang maut akibat kemalangan trafik untuk sepanjang tahun lalu.

Menurut Anders Hartmann, penasihat untuk jabatan bandaraya Oslo, tahun 2019 juga tidak ada kemalangan trafik yang menyebabkan kematian dari pejalan kaki dan penunggang basikal.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Hanya seorang mangsa kemalangan jalanraya tahun lalu di bandaraya tersebut, iaitu seorang lelaki yang maut selepas keretanya terbabas dan melanggar pagar dalam bulan Jun 2019.

Oslo mempunyai seramai 690,335 orang penduduk di kawasan bandar pusat.

Antara faktor yang dikatakan membantu mengurangkan kadar kematian jalanraya di Oslo ialah:

  • Mengasingkan laluan kenderaan dengan laluan-laluan untuk pengguna basikal/skuter/pejalan kaki mampu mengurangkan kadar kemalangan. 
  • Mengurangkan halaju untuk beberapa jalanraya di bandaraya itu.
  • Mengurangkan kenderaan di kawasan perumahan.
  • Menggunakan kenderaan yang lebih modern dan mempunyai tahap keselamatan pasif yang tinggi.
  • Mengurangkan kadar pemandu mabuk.

 

 

Namun begitu, seorang pegawai polis trafik yang diwawancara oleh akhbar itu berkata pemandu yang mahu mengambil risiko dengan memandu laju adalah mereka yang akan terbabit di dalam kemalangan.

Menggunakan telefon bimbit semasa memandu juga adalah satu masalah, dan pihak polis di Oslo tidak sepatutnya rileks dan berbangga dengan kadar kematian yang serendah itu.

"Keadaan trafik di Oslo juga semakin berserabut dengan lebih banyak pengguna basikal dan basikal elektrik. Kehadiran polis masih penting untuk mengelakan kemalangan dari berlaku," ujar Erik Grønli, pegawai polis trafik tersebut.

Dalam tahun 2015, Oslo bercadang untuk melarang terus kereta dari pusat bandarnya menjelang 2019. 

Usaha itu berhasil dan lebih dari 700 tempat parkir ditukar kepada laluan basikal atau ditukarkan kepada taman-taman.

Untuk membantu pergerakan umum, Oslo telah menambah jumlah tram dan juga keretapi metro serta mengurangkan kadar tambang.


* Laporan asal dari Aftenposten