Cubaan pulang ke kampung - Lebih 70,000 kenderaan di Indonesia diarah berpatah balik

oleh SALINA JALIL|
gambar pengunjung penuh sesak di sebuah pasar di Jawa Barat pada Ahad lalu
Lebih 70,000 kenderaan dalam perjalanan pulang untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri diarah berpatah balik berikutan larangan pulang ke kampung besar-besaran yang dikenali sebagai mudik, dilaksanakan pada 6 Mei.


Bagaimanapun, terdapat beberapa kenderaan berjaya menyelinap melepasi 381 pusat pemeriksaan di tiga pulau utama Indonesia, iaitu Sumatera, Jawa dan Bali.

 

Pasukan kira-kira 166,000 anggota terdiri daripada polis, tentera, anggota ketenteraman awam dan kementerian pengangkutan mengawasi pusat pemeriksaan dengan membuat pemeriksaan ke atas surat kebenaran dan keperluan perjalanan yang diperlukan.

 

Di Jawa Barat, kira-kira 36,000 kereta dan motosikal yang melalui jalan utama serta jalan alternatif, atau dikenali sebagai jalan tikus diarahkan berpatah balik Sabtu lalu.

 

Setiap tahun, menjelang akhir bulan Ramadan, berjuta-juta orang yang tinggal di ibu negara, Jakarta dan wilayah lain di kepulauan melakukan perjalanan pulang melalui jalan udara, laut dan darat untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri.

 

Indonesia, negara paling ramai penduduk beragama Islam di dunia, dengan lebih dari 90 peratus daripada 270 juta penduduknya, menguatkuasakan larangan mudik untuk tahun kedua berturut-turut bagi mengekang penularan COVID-19, yang mengorbankan lebih daripada 47,000 orang dan lebih 1.7 juta dijangkiti.

 

Hanya mereka yang bertugas secara rasmi atau melakukan perjalanan bagi tujuan kecemasan dikecualikan daripada larangan itu, yang akan berkuatkuasa sehingga 17 Mei.

 

Tinjauan Kementerian Pengangkutan menunjukkan bahawa 18 juta masih akan pulang walaupun terdapat larangan itu.

 

Pekerja kilang Fajar Fahmi adalah antara mereka yang berjaya melepasi sekatan itu, pulang ke Brebes, di Jawa Tengah.

 

"Saya diperintahkan untuk berpatah balik ke Bekasi (Jawa Barat). Tetapi, kemudian saya menemui jalan pintas melalui Jakarta," katanya kepada Kompas TV, sambil menambah bahawa seperti kebanyakan yang lain, dia dapat melepasi selepas menunggu pengawal meninggalkan pusat pemeriksaan.

 

Hujan lebat di Cikarang dan Karawang, Jawa Barat, membolehkan orang ramai menyelinap melalui laluan tikus ke Cirebon pada awal Ahad.

 

Namun, polis berjaya menggagalkan ramai orang yang cuba pulang dengan dengan kapal nelayan, ambulans, trak sayur dan bas.

 

Jurucakap polis Jawa Barat, Erdi Adrimulan Chaniago, berkata polis mengesan 138 bas ulang-alik haram yang membawa penumpang menuju ke wilayah Jawa Barat dari Jakarta.

 

Dua penumpang bas dari Tangerang, Banten, yang berjaya tiba di Solo, Jawa Tengah, pada Jumaat lalu diuji positif COVID-19 ketika ketibaan.

 

 

- AGENSI

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Timbalan Ketua Polis Kelantan, Senior Asisten Komisioner Abdullah Muhammad Piah berkata,…
Berita Domestik
  Sementara itu, tinjauan Harian Metro mendapati, memang berlaku pengurangan pergerakan kenderaan…
Berita Domestik
Ramai yang akhirnya bergambar di luar pagar tasik tersebut dan ada juga yang mengambil peluang…