Menurut laporan Los Angeles Times, kejadian berlaku sejurus selepas tengah malam apabila seorang lelaki dipercayai berada di bawah pengaruh bahan terlarang memanjat masuk ke dalam salah sebuah kereta elektrik Jaguar I-Pace yang dikendalikan Waymo. Lelaki itu dikatakan memasuki kereta melalui tempat duduk penumpang sebelum beralih ke tempat duduk pemandu posisi yang biasanya kosong kerana kenderaan ini beroperasi secara autonomi.
Namun begitu, sistem keselamatan terbina dalam kenderaan tersebut segera bertindak. Waymo menjelaskan bahawa semua keretanya direka supaya tidak boleh dipandu secara manual oleh orang awam. Malah, jika diceroboh, kenderaan boleh membunyikan hon, mengumumkan panggilan kecemasan ke 911, dan menarik masuk pemegang pintu luar untuk mengelak akses lanjut.
Pasukan sokongan Waymo juga dimaklumkan secara automatik apabila tempat duduk pemandu dimasuki. Mereka kemudiannya meminta lelaki berkenaan keluar dari kenderaan. Apabila dia enggan bekerjasama, pihak polis dipanggil ke lokasi.
Lelaki terbabit akhirnya dilepaskan di tempat kejadian selepas diperiksa oleh pihak berkuasa. Tiada kerosakan dilaporkan, dan tiada tindakan lanjut diambil setakat ini.
Waymo kini beroperasi secara aktif di Los Angeles, San Francisco dan Phoenix, dengan perancangan untuk memperluaskan servis mereka ke Austin, Atlanta dan Miami tidak lama lagi.
Syarikat itu juga mendedahkan bahawa dalam lebih lima juta perjalanan yang telah dijalankan sejak penubuhan, hanya “segelintir” kes cubaan pencerobohan direkodkan.
Insiden ini sekali lagi menunjukkan cabaran unik yang dihadapi oleh industri teknologi automotif masa depan di mana kenderaan boleh memandu sendiri, tetapi manusia masih jadi masalah utama.
Sumber: https://sea.mashable.com/tech/35808/waymo-stopped-a-man-from-stealing-a-driverless-car