Cuba elak dari Penguatkuasa - muat motosikal dalam perahu!

oleh Penyumbang Rencana|
gambar dari Facebook JPJ Negeri Kelantan
Seorang penunggang motosikal tekad meloloskan diri menggunakan jalan tikus dan mengangkut motosikal menaiki perahu menyeberangi Sungai Golok tanpa melalui pintu sempadan rasmi negara ICQS Rantau Panjang untuk mengelak daripada diambil tindakan oleh pihak penguatkuasa JPJ.

Penunggang tersebut disyaki salah seorang daripada sekumpulan rombongan motosikal yang dipercayai baru pulang dari kunjungan ke Selatan Thailand untuk menyambut tahun baru 2023.

JPJ Negeri Kelantan telah melaksanakan Operasi Khas Motosikal sempena Tahun Baru 2023 di daerah Pasir Mas, Rantau Panjang semalam untuk memantau, mengesan dan mengambil tindakan terhadap penunggang dan pemilik kenderaan motor yang gagal mematuhi peraturan ditetapkan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Kaedah-kaedah di bawahnya.

Hasil operasi tersebut, JPJ Negeri Kelantan telah membuat pemeriksaan ke atas 450 buah motorsikal dan telah mengambil tindakan terhadap 250 buah kenderaan.

Sebanyak 350 notis saman telah dikeluarkan terhadap pemandu dan pemilik kenderaan yang melakukan pelbagai kesalahan. Antara kesalahan yang dikesan adalah tiada lesen memandu, tiada lesen kenderaan motor, tiada perlindungan insurans dan kesalahan pengubahsuaian motosikal tanpa kebenaran.

Pihak JPJ Negeri Kelantan juga telah menyita 8 buah motosikal yang melakukan pelbagai kesalahan termasuk kesalahan mengganggu usik casis kenderaan.

Pemandu dan pemilik kenderaan yang melakukan kesalahan teknikal adalah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 59(1) APJ 1987 dan dihukum di bawah Seksyen 119(2) akta yang sama yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM2,000 atau penjara 6 bulan untuk kesalahan pertama, dan sabitan kali kedua denda tidak melebihi RM4,000 atau penjara tidak melebihi 12 bulan atau kedua-duanya.

Operasi ini diketuai oleh Tuan Mohd Firdaus bin Shamsuddin, Ketua Bahagian Penguatkuasa dan dibantu oleh 35 orang anggota Unit Operasi JPJ Negeri Kelantan. Operasi berakhir pada Isnin pukul 6.00 petang.

 

Berita Berkenaan

Berita Domestik
"Kejadian itu berlaku pada jam 11 pagi semasa penguat kuasa berkenaan sedang mengambil tindakan…
Informasi
  “Pada masa ini, pihak JPJ berada di fasa pelaksanaan kajian kebolehlaksanaan penggunaannya…
Berita Domestik
  "Dalam operasi di bawah Enakmen Melarang Kerbau dan Lembu Kawasan-Kawasan Larangan 1971 itu…