
Perubahan atau peningkatan paling ketara untuk CS850R ialah pembeza (differential) Torsen baharu yang mengoptimumkan pacuan mekanikal dari kedua-dua roda belakang.
Perubahan itu memberikan lebih cengkaman semasa pecutan agresif dan lebih 'feel' ketika dipandu secara berprestasi atau semasa 'power slide'.
Clive Sutton turut memperhalusi lagi talaan nisbah pacuan akhir dari 3.55 pada CS850GT kepada 3.37 untuk CS850R supaya setiap gear menjadi sedikit singkat.

Perubahan itu juga menjadikan kereta lebih galak semasa dipandu mula atau ditekan ketika keluar selekoh.
Pecutan secara mengejut pula menjadikan kereta terasa lebih laju dan agresif.
Lagi perubahan besar dan menarik ialah suspensi MagneRide diganti dengan penyerap hentak Pro Active dan gegelung linear untuk input lebih tajam dan prestasi ketika mengambil selekoh.

Sama seperti CS850GT, model CS850R berkuasa 847 bhp dan 902 Nm dari enjin 5.0 liter V8 Mustang yang telah dipertingkatkan.
Kuasa itu hampir separuh lebih tinggi daripada 454 bhp pada Mustang.
Mustang hasil tangan Clive Sutton ini menggunakan pengecas lampau Whipple dan set ekzos Quad Active XFORCE.

Untuk pengendalian dan pemanduan, palang anti oleng depan dan belakang sama seperti CS850GT dan dengan pendakap yang dipertingkatkan dan komponen sub rangka baharu supaya sepadan dengan suspensi CS850R.
Kedua-dua model menggunakan roda custom Vossen saiz 20 inci dengan brek DBA dan pad Hawk.
Cumanya, angkup CS850GT berwarna biru manakala CS850R berwarna merah.

Warna merah sepadan dengan riasan dalaman seperti sulaman dan tali pinggang keledar dalam warna sama.
Satu lagi, pelanggan yang mahu mengeksploitasi lebih keupayaan di litar boleh mendapatkan spoiler trek dari gentian.
Berkenaan harga, CS850R ditawarkan pada harga permulaan £121,000 (RM649,871) dan pelanggan boleh membuat beberapa pilihan peribadi termasuk meningkatkan lagi prestasi.
Penulis: Muhammad Md Tajudin
