Lengkap sudah barisan SEXY (atau lebih tepat, S, 3, X dan Y) Tesla apabila pengeluar kenderaan elektrik yang bertapak di California memperkenalkan secara rasmi crossover Model Y baru-baru ini.
Tesla Model Y memiliki paras rupa hadapan yang hampir sama seperti sedan Model 3, dan di bahagian belakang menampilkan profil yang serupa seperti SUV Model X.
Sayang sekali, ia tidak menampilkan rekaan pintu gull-wing yang ada pada Model X.
Tesla Model Y menawarkan konfigurasi tempat duduk tiga baris dengan tujuh penumpang pada satu-satu masa, bumbung suria panoramik, skrin besari bersaiz 15 inci di bahagian tengah serta ruang kargo sehingga 1,869 liter!
Crossover yang dibangunkan berdasarkan sedan Model 3 itu ditawarkan dalam empat varian utama, iaitu model aras mula Standard Range yang hanya akan memasuki pasaran bermula tahun 2021.
Sementara itu, Tesla hanya menawarkan tiga varian utama dimulakan dengan Tesla Model Y Long Range.
Seperti namanya, model paling murah ini memfokuskan kepada jarak operasi yang lebih jauh - mampu bergerak dalam jarak 482 km untuk sekali cas penuh, dan pecutan sepantas 5.5 saat dari 0-100 km/j.
Pada harga $47,000 (RM192 ribu), ia merupakan pilihan yang ideal bagi mereka yang mahukan sebuah EV dengan jarak operasi yang optimum.
Varian seterusnya ialah Tesla Model Y Dual Motor AWD, menampilkan konfigurasi motor elektrik berkembar yang lebih memfokuskan kepada prestasi - namun jarak operasi sedikit menurun berbanding varian Long Range tadi.
Dengan harga bermula dari $51,000, varian AWD ini mampu mencapai jarak 450 km untuk sekali cas, namun pecutan lebih pantas 0.7 saat (4.8 saat) sebelum mencapai kelajuan maksimum 217 km/j.
Akhir sekali, Tesla Model Y Performance bagi mereka yang mahukan lebih daripada dua varian di atas.
Terima kasih kepada padanan motor elektrik yang berkuasa, ia mampu memecut 3.5 saat dari pegun sebelum mencapai 100 km/j, jarak operasi sejauh 450 km dan kelajuan maksimum 241 km/j.
Varian berprestasi tinggi ini berharga dari $60,000 (RM245 ribu).
Ketiga-tiga varian utama Tesla Model Y ini akan mula dijual pada tahun hadapan.