Creative Conversions boleh tukarkan Land Cruiser 300 jadi trak pikap di Australia

oleh Mohamad Hanif|
Tatkala ramai pembeli Toyota Land Cruiser yang masih lagi membilang tahun untuk mendapatkan unit masing-masing, pemilik sedia ada boleh menjadikan SUV panas itu sesuatu yang lebih praktikal.
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
HONDA CR-V MREC Banner Campaign March 2024

Di Australia, syarikat Creative Conversions kini menawarkan pakej modifikasi Land Cruiser 300 Series menjadi sebuah trak pikap kabin berkembar.

Bergantung kepada keperluan, pemilik Land Cruiser boleh memilih pakej penambahan jarak antara roda 700 mm atau 800 mm yang membolehkan pemasangan tray atau kanopi berukuran 1,800 mm hingga 2,100 mm, tayar BFGoodrich, rim ROH, serta padanan suspensi EFS XTR, EFS Xtreme, atau suspensi boleh laras Outback Armour.
 

Land Cruiser


Selain itu, pemilik juga boleh memilih had muatan yang boleh ditunda oleh trak pikap Land Cruiser ini, bermula serendah 3,500 kg hinggalah 4,200 kg dengan berat kenderaan kasar yang mampu mencecah 4,495 kg.

Sebagai perbandingan, SUV Land Cruiser yang standard mempunyai berat kasar 3,280 kg dan mampu menunda muatan seberat 3,500 kg.

Untuk pasaran Australia, Toyota hanya menawarkan Land Cruiser generasi baharu eksklusif dengan enjin diesel turbo berkembar 3.3 liter menghasilkan 304 hp dan 700 Nm, dipadankan dengan transmisi automatik 10 nisbah kelajuan.