COVID-19 - syarikat penerbangan dijangka guna rizab tunai

oleh Mohamad Hanif|
Syarikat-syarikat penerbangan mungkin menggunakan rizab tunai mereka berjumlah AS$61 bilion (RM266 billion) pada suku kedua tahun ini dan mencatatkan kerugian bersih suku tahun sebanyak AS$39 bilion (RM170 bilion) jika sekatan perjalanan yang ketat berkaitan COVID-19 berlarutan selama tiga bulan.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02


Di bawah analisis ini oleh Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA), permintaan untuk tahun penuh akan merosot sebanyak 38 peratus dan pendapatan penumpang untuk tahun penuh susut sebanyak AS$252 bilion (RM1.1 trilion) berbanding 2019.

Persatuan itu, yang mewakili sebanyak 290 syarikat penerbangan dan menyumbang lebih 80 peratus daripada trafik udara global, berkata kemerosotan permintaan itu akan menjadi yang terbesar dalam tempoh April-Jun dengan penurunan sebanyak 71 peratus.

Dalam kenyataan, Ketua Pengarah dan Ketua Pegawai Eksekutif IATA Alexandre de Juniac berkata selain daripada kos yang tidak dapat dielak, syarikat penerbangan akan berdepan dengan bayaran balik tiket yang telah dijual tetapi tidak digunakan berikutan pembatalan secara besar-besaran disebabkan sekatan perjalanan yang dikenakan oleh kerajaan.

"Syarikat penerbangan tidak dapat mengurangkan kos dengan cepat untuk menangani impak krisis ini. Kami menjangka kerugian bersih yang membimbangkan berjumlah AS$39 bilion pada suku kedua.

 


"Impak ke atas penggunaan rizab tunai akan dikukuhkan oleh liabiliti sebanyak AS$35 bilion (RM152 bilion) daripada potensi bayaran balik tiket. Tanpa bantuan, kedudukan tunai industri ini boleh merosot sebanyak AS$61 bilion pada suku kedua," katanya.

De Juniac berkata impak daripada sekatan perjalanan selama tiga bulan adalah berat, berikutan pendapatan syarikat penerbangan dijangka merosot sebanyak 68 peratus dan ini kurang daripada jangkaan penurunan sebanyak 71 peratus berikutan operasi kargo yang berterusan, walaupun tahap aktivitinya berkurangan.

"Kos pembolehubah dijangka susut dengan ketara, kira-kira 70 peratus pada suku kedua, sebahagian besarnya sejajar dengan jangkaan pengurangan kapasiti sebanyak 65 peratus pada suku kedua.

"Harga bahan api jet juga jatuh mendadak, walaupun kami menjangka lindung nilai bahan api akan mengehadkan faedah kepada penurunan sebanyak 31 peratus," katanya.

Beliau berkata kos tetap dan separa tetap akan berjumlah hampir separuh daripada kos syarikat penerbangan.

"Kami menjangka kos separa tetap, termasuk kos kru, akan dikurangkan sebanyak satu pertiga. Syarikat penerbangan akan mengurangkan apa yang boleh, selain cuba mengekalkan tenaga kerja dan perniagaan mereka untuk pemulihan masa depan," katanya.

Sumber: BERNAMA
Sumber gambar: The Malaysian Reserve, Seasia.co

Berita Berkenaan

Berita Domestik
  Menurut kenyataan AirAsia hari ini, syarikat penerbangan dinilai berdasarkan tujuh kriteria…