COVID-19 - peningkatan kluster rentas negeri membimbangkan

oleh SALINA JALIL|
gambar hiasan
Sebanyak 23 kluster baharu dicatatkan semalam membabitkan tempat kerja, keagamaan, komuniti dan institusi pendidikan swasta berdaftar di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia.


Ia membabitkan masing-masing empat kluster di Selangor dan Johor, dan tiga kluster di Perak.


Selain itu dua kluster di Kelantan, Melaka dan Pulau Pinang, manakala masing-masing satu kluster di Sabah, Sarawak, Kedah, Terengganu dan Wilayah Persekutuan Labuan.

MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02


 

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, penularan di dalam negara semakin membimbangkan sejak 7 Disember 2020 apabila 51 kluster rentas negeri yang terdiri daripada 6,468 kes dilaporkan kepada Pusat Kesiapsiagaan dan Respons Krisis (CPRC).

 

Katanya, ia berikutan kebenaran pergerakan rentas daerah dan negeri di seluruh negara pada ketika itu.

 

"Walau bagaimanapun, larangan ini mula dikuatkuasakan semula sejak 10 Mei 2021 berikutan keadaan pandemik yang semakin meruncing.

 

"Kluster-kluster rentas negeri adalah termasuk yang berpunca dari kes indeks yang pulang untuk sambutan Aidilfitri, pulang menziarahi keluarga, menghadiri majlis perkahwinan, majlis hari jadi, majlis pengebumian atau kursus di negeri lain serta menjalankan aktiviti ceramah bebas merentas negeri," katanya dalam satu kenyataan.

 

Menurutnya, sejak 1 April 2021 sehingga 28 Mei 2021 saja, sebanyak 20 kluster rentas negeri yang terdiri daripada 1,420 kes dilaporkan.

 

Beliau berkata, daripada jumlah itu, negeri-negeri yang melaporkan jumlah kluster tertinggi adalah Melaka dengan lapan kluster, Terengganu sebanyak tiga kluster selain Kelantan, Perak dan Pahang dengan masing-masing dua kluster.

 

Beliau berkata, pada masa yang sama, negara juga menghadapi cabaran kluster komuniti terutamanya sub-kluster perayaan.

 

Sejak 13 hingga 28 Mei 2021, sebanyak 26 kluster yang berpunca dari sambutan perayaan Aidilfitri dilaporkan oleh CPRC Kebangsaan KKM.

 

"Untuk makluman, seramai 4,047 individu disaring yang mana sebanyak 1,019 kes dikenalpasti positif dalam kluster-kluster ini, iaitu kadar positiviti 25.1 peratus.

 

"Daripada jumlah 1,019 kes itu, dua kematian dilaporkan sehingga kini dan satu kes sedang mendapatkan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU)," katanya.

 

Katanya, negeri yang mencatatkan bilangan sub-kluster perayaan yang berpunca daripada sambutan Aidilfitri tertinggi ialah Sabah dengan tujuh kluster, Kelantan dengan lima kluster serta masing-masing dengan dua kluster di Johor, Melaka, Pahang, Selangor dan Wilayah Persekutuan Labuan.

 

Justeru katanya, KKM menyeru masyarakat mengambil iktibar dan tidak mengulanginya bagi Perayaan Pesta Kaamatan dan Hari Gawai yang akan disambut tidak lama lagi.

 

Katanya, begitu juga dengan sambutan perayaan Aidilfitri yang kebiasaannya berpanjangan sehingga sebulan.

 

"Masyarakat diingatkan bahawa larangan merentas daerah dan negeri masih lagi berkuat kuasa. "Begitu juga larangan kunjung mengunjung bagi menyambut perayaan. Peningkatan sub-kluster perayaan hari raya perlu dijadikan sebagai pengajaran agar ianya tidak terus bertambah.

 

"Aktiviti merentas daerah, negeri, kunjung-mengunjung atau perhimpunan sewaktu perayaan tidak sepatutnya berlaku sama sekali dengan pelaksanaan total lockdown bermula pada 1 Jun 2021 sehingga 14 Jun 2021. Sekarang adalah waktu untuk kita semua bertindak bersama-sama menurunkan jumlah kes dan kematian harian," katanya.

 

 

 

Harian Metro

Berita Berkenaan

Informasi
    Beliau berkata, sebelum ini, kedua-dua pulau peranginan tersebut masih memiliki sebuah bot…
Informasi
  Beliau berkata, perkara itu juga adalah bagi memastikan kesediaan negara untuk menerima…
Berita Domestik
  Menurut Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Zailani Hashim, operasi…