COVID-19: Pekerja pelantar minyak wajib kuarantin

oleh SALINA JALIL|
Semua pekerja pelantar minyak dan gas yang datang dari luar Sarawak diwajibkan menjalani kuarantin sebelum mereka pergi ke pelantar di tengah laut.


Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, pekerja pelantar itu perlu menjalani proses kuarantin selama 14 hari sebaik tiba di negeri ini.


Beliau berkata, langkah itu perlu bagi mengelakkan mereka yang dikhuatiri dijangkiti akan menjadi agen penyebar wabak itu kepada semua pekerja di pelantar minyak.

 

“Kita tahu persekitaran di pelantar yang sempit dan dikhuatiri memudahkan penyebaran wabak jika ada pekerja dijangkiti virus itu.

 

“Dengan menjalani proses kuarantin di darat di negeri ini, kita akan memastikan mereka benar-benar bebas dari virus dan selamat untuk pergi ke pelantar di tengah laut,” katanya.

 

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) di Wisma Bapa Malaysia, di sini, hari ini.

 

Sementara itu, Uggah yang juga Pengerusi JPBN berkata, sebanyak 11 kes baharu positif Covid-19 direkodkan hari ini, menjadikan jumlah kes di Sarawak sebanyak 129 sejak kes positif pertama dilaporkan pada 13 Mac lalu.

 

Kesemua 11 kes baharu itu dirawat di Hospital Umum Sarawak (HUS) dengan enam daripadanya adalah lelaki dan lima lagi wanita.

 

Bagi kes individu dalam siasatan (PUI) pula, sebanyak 49 kes baharu dilaporkan hari ini menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 1,126 kes.

 

“Daripada jumlah itu, 915 kes adalah negatif dan 82 kes PUI masih menunggu keputusan makmal.

 

“Sehingga kini, Sarawak merekodkan lima kematian sejak kes pertama dilaporkan pada 17 Mac dan sembilan kes berjaya sembuh dan sudah dibenarkan keluar dari hospital,” katanya.

 

Sementara itu, Uggah berkata, mesyuarat JPBM hari ini sudah menentukan zon merah Covid-19 di Sarawak iaitu Kuching yang merekodkan 69 kes positif, Samarahan (16), Betong (8), Sarikei (6), Bintulu (5), Miri (9)dan Limbang (6).

 

Zon Kuning pula Serian yang mencatatkan tiga kes positif, Sibu (3)Mukah (1), Matu (1), Lawas (1) dan Simunjan (1).

 

Berikutan itu katanya, Operasi Nyah Cemar akan dilaksanakan pihak berkuasa tempatan (PBT) dengan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) di zon merah.

Add new comment

Berita Berkenaan

Berita Global
  Musim F1 terganggu selepas pembatalan pusingan pembuka tirai di GP Australia pada Mac, hanya…
Berita Domestik
  Jualan di bulan Mei terdiri daripada 2,612 Myvi, 2,028 Axia, 1,820 Bezza, 950 Aruz dan 476 Alza…
Berita Domestik
Ciri penting dalam pemeteraian MoU ini adalah mendokong usaha pembangunan ImmuSAFETM, kit ujian…