COVID-19 - Moratorium wajar diperluas kepada syarikat kredit berlesen

oleh Mohamad Hanif|
Pertubuhan Usahawan Generasi Muda Berjaya Malaysia (GMB) mahu kerajaan melalui Kementerian Kewangan dan Bank Negara Malaysia (BNM) meluaskan arahan moratorium automatik kepada syarikat kewangan berlesen yang dikawal selia dan berdaftar dengan BNM, selama enam bulan bermula 1 April ini.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Presidennya, Agil Faisal Ahmad Fadzil, berkata antara syarikat kewangan yang dikawal selia dan berdaftar dengan BNM ialah Kredit Motor/Motokar, AEON Credit, BMW Credit dan syarikat pinjaman wang berlesen.

“Perkara ini penting memandangkan ramai yang mempunyai komitmen ansuran bulanan dengan institusi tersebut, hampir 90 peratus pemilik motosikal adalah daripada golongan B40 dan M40 yang membuat pinjaman daripada AEON Credit yang tidak tertakluk kepada arahan moratorium automatik,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Agil Faisal berkata, arahan moratorium yang diumumkan itu hanya membabitkan pelanggan institusi perbankan dan tidak merangkumi syarikat kewangan berlesen di Malaysia.

Bagaimanapun beliau menyambut baik usaha murni itu (moratorium automatik) dan menganggap tempoh enam bulan yang diberi sebagai peluang kepada usahawan kecil untuk mencipta dan merangka strategi bagi perniagaan masing-masing.

“Untuk usahawan, ini adalah tempoh bertenang yang harus digunakan dengan bijak dalam membina balik perniagaan masing-masing,” katanya.

Semalam, BNM mengumumkan moratorium automatik bagi semua pembayaran semula pinjaman oleh individu dan perusahaan kecil dan sederhana bagi tempoh enam bulan bermula 1 April 2020.

Langkah yang diambil BNM itu akan meringankan beban pengguna dan perniagaan kecil berikutan impak daripada pandemik COVID-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan ke atas ekonomi negara.

-- BERNAMA