COVID-19: Melepak bersama teman wanita, langgar lampu isyarat, dikejar polis sehingga 15km

oleh SALINA JALIL|
Seorang lelaki yang keluar melepak bersama teman wanitanya dengan kereta terpaksa ‘menyerah’ selepas dikejar polis sejauh 15 kilometer apabila kenderaannya kehabisan minyak di Alor Gajah, Melaka.


Lelaki berkenaan yang berusia 24 tahun dan teman wanitanya berumur 18 tahun melarikan diri selepas melanggar lampu isyarat merah di persimpangan Rumbia kira-kira jam 7 petang Ahad lalu.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

 

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Arshad Abu, berkata selepas menyedari dikejar sebuah kereta peronda polis, lelaki itu memecut secara merbahaya sebelum terpaksa akur apabila kereta jenis Perodua Kancil dinaiki mereka kehabisan minyak ketika berada di Taman Angkasa Nuri, Durian Tunggal, di sini.

 

“Polis meminta suspek memberhentikan kenderaan namun dia enggan, malah bertindak agresif dengan memecut kenderaannya.

 

“Bagaimanapun, selepas mengejar sejauh kira-kira 15 kilometer, kenderaan dipandu suspek tidak dapat meneruskan perjalanan apabila kehabisan minyak.

 

“Suspek bersama teman wanitanya kemudian ditahan di Taman Angkasa Nuri,” katanya ketika dihubungi hari ini.

 

Arshad berkata, pasangan itu keluar untuk melepak bersama, sekali gus melakukan kesalahan kerana melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

 

Semakan rekod lampau mendapati lelaki itu pernah ditahan atas kesalahan berkaitan dadah dan disabitkan hukuman mengikut Seksyen 12(3) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 411 Kanun Keseksaan.

 

“Sementara wanita itu pula tiada sebarang rekod lampau. Kedua-dua mereka kini direman selama empat hari sehingga Khamis ini bagi membantu siasatan.

 

“Kes diklasifikasikan mengikut Peraturan 11 Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2020 serta Seksyen 186 Kanun Keseksaan,” katanya.

 

 

Sumber dan gambar: Berita Harian

Berita Berkenaan

Berita Global
Menurut laporan Sinar Harian yang memetik Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kesihatan Awam,…
Berita Global
Peraturan baharu itu akan berkuatkuasa bermula hari ini (Ahad) seperti yang dimaklumkan oleh Pihak…
Berita Domestik
Menurut presiden Persatuan Peniaga Aksesori Automotif Malaysia, Lim Bee Choo berkata, keadaan itu…