COVID-19: Kesesakan jalan raya semalam berpunca dari urusan bank dan tambah stok keperluan harian

oleh SALINA JALIL|
Keluar untuk membeli stok barangan keperluan harian yang semakin berkurangan dan mahu membuat urusan di bank antara faktor menyebabkan jumlah kenderaan persendirian meningkat di jalan raya terutama di bandar-bandar utama seluruh negara, semalam.


Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Azisman Alias, berkata pihaknya dimaklumkan banyak kesesakan berlaku di lokasi sekatan jalan raya (SJR) disebabkan jumlah kenderaan yang meningkat hari ini berbanding sebelumnya.
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
HONDA CR-V MREC Banner Campaign March 2024

 

“Oleh kerana semalam adalah hari Isnin dan hari bekerja, maka ramai yang mahu ke bank untuk menyelesaikan urusan perbankan masing-masing.

 

“Selain itu, ada juga yang mahu membeli barang keperluan harian kerana stok yang ada sudah berkurangan atau kehabisan.

 

“Apabila kerajaan mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilanjutkan lagi selama dua minggu bermula lusa sehingga 28 April, masing-masing mahu menambah stok barangan keperluan harian mereka,” katanya ketika dihubungi.

 

Selain itu, katanya pengumuman kerajaan membenarkan beberapa sektor perniagaan diberi kelonggaran untuk beroperasi juga menjadi satu daripada punca pertambahan kenderaan di jalan raya.

 

“Kita boleh lihat jumlah kenderaan meningkat terutamanya pada sebelah pagi kerana pada waktu itu, ramai yang keluar untuk menyelesaikan urusan masing-masing sama ada ke bank atau membeli barang atau keluar bekerja bagi mereka yang bekerja di sektor yang dibenarkan.

 

“Untuk hari ini, kita kesan jumlah kenderaan meningkat kira-kira 20 peratus di bandar-bandar besar berbanding lima hingga 10 peratus pada hari biasa,” katanya

.

Antara faktor lain yang turut menyebabkan berlaku kesesakan di lokasi SJR adalah pemeriksaan lebih ketat oleh petugas SJR terdiri daripada anggota polis dan tentera yang menyebabkan aliran trafik menjadi perlahan.

 

Katanya, petugas SJR perlu memastikan orang ramai yang keluar itu benar-benar mempunyai urusan yang perlu, jujur dan mempunyai tujuan yang jelas, bukannya untuk suka-suka atau keluar tanpa sebab yang perlu.

 

Sementara itu, Ketua JSPT Kuala Lumpur, Asisten Komisione Zulkefly Yahya, berkata memang terdapat peningkatan daripada segi jumlah kenderaan yang menggunakan laluan-laluan sekitar ibu negara hari ini berbanding semalam.

 

operasi

 

“Kita sedang mengkaji trend ini dan mengapa jumlah kenderaan meningkat hari ini berbanding hari-hari sebelumnya, mungkin kerana hari ini adalah hari Isnin, ramai yang keluar untuk urusan-urusan yang dibuat dalam waktu operasi yang dibenarkan.

 

“Anggota yang bertugas di lokasi SJR akan mengira setiap jumlah yang melalui setiap SJR untuk tempoh 24 jam sehari untuk membuat perbandingan,” katanya ketika dihubungi.

 

Katanya, pemeriksaan yang ketat di setiap SJR juga antara penyebab berlaku kesesakan di kebanyakan lokasi SJR.

 

“Kesesakan di lokasi SJR adalah perkara biasa yang berlaku. Mungkin ada yang kurang sabar dan marah apabila terpaksa menunggu lama dalam kesesakan  yang berlaku di SJR, maka mereka luahkan di media-media sosial,” katanya.

 

Ketua JSPT Selangor, Superitendan Azman Shari’at yang dihubungi turut memaklumkan terdapat pertambahan jumlah kenderaan di laluan-laluan utama sekitar Selangor.

 

“Pemeriksaan di SJR mendapati sebahagian mereka mempunyai alasan munasabah dan untuk mereka yang bekerja atau ke hospital untuk rawatan, mereka mempunyai dokumen yang diperlukan.

 

“Namun mereka terpaksa menempuh kesesakan di lokasi-lokasi SJR kerana jumlah kenderaan yang agak banyak dan anggota kita perlu lakukan pemeriksaan ketat,” katanya.

 

 

 

Berita Harian

Berita Berkenaan

Berita Global
Menurut laporan Sinar Harian yang memetik Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kesihatan Awam,…
Berita Global
Peraturan baharu itu akan berkuatkuasa bermula hari ini (Ahad) seperti yang dimaklumkan oleh Pihak…
Berita Domestik
Menurut presiden Persatuan Peniaga Aksesori Automotif Malaysia, Lim Bee Choo berkata, keadaan itu…