COVID-19: Jualan kenderaan elektrik global dijangka merosot 43 peratus

oleh SALINA JALIL|
Jualan kenderaan elektrik (EV) global dijangka merosot 43 peratus kepada 1.3 juta menjelang akhir 2020 berbanding 2.2 juta pada 2019, demikian mengikut analisa terkini Wood Mackenzie.


Ia berkata, kemerosotan jualan EV itu dijangka berikutan penularan wabak COVID-19, potensi penangguhan pembelian dan pendekatan tunggu dan lihat untuk membeli model baharu.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

 

Analisa Wood Mackenzie itu mendapati China akan dapat mengejar permintaan 2019 menjelang November 2020, manakala Eropah pula menjelang Disember, sementara permintaan di Amerika Syarikat (AS) dijangka berada di belakang permintaan 2019 sebanyak 30 peratus menjelang akhir 2020.

 

Penganalisis Prinsipal Wood Mackenzie, Ram Chandrasekaran, berkata pada akhir Januari 2020, jualan semua kereta di China susut 21 peratus berbanding 2019 dan pada Februari, ia sudah jatuh sebanyak 80 peratus.

 

Beliau berkata, jualan EV terjejas teruk dengan perangkaan pada Januari merosot 54 peratus dan Februari dijangka turun lebih 90 peratus.

 

tesla S

 

Katanya, EV telah membentuk kira-kira lima peratus daripada semua jualan kenderaan di China sejak dua tahun lalu.

 

"Kebanyakan pembeli EV baharu masih pemilik teknologi pertama kali. Ketidakpastian dan kebimbangan yang dicipta oleh wabak COVID-19 menjadikan pengguna kurang cenderung untuk menggunakan teknologi baharu.

 

“Sebaik saja wabak ini dibendung di China, kami jangka pengguna akan kembali semula kepada penjual kereta dan menegaskan keyakinan mereka terhadap EV,” katanya dalam satu kenyataan.

 

Sementara itu, Ram berkata, jualan EV di Eropah menyaksikan kenaikan 121 peratus pada Januari 2020 meskipun penurunan tujuh peratus dalam keseluruhan pasaran.

 

Beliau berkata, trend peningkatan penggunaan EV kekal pada Februari, walaupun lebih rendah berbanding bulan sebelumnya.

 

“Walau bagaimanapun, kes pertama COVID-19 tidak dilaporkan di rantau ini (Eropah) sehingga akhir Januari. Kadar jangkitan dijangka meningkat di Eropah dan Amerika Utara menjelang akhir separuh pertama 2020, kira-kira dua bulan selepas China.

 

“Oleh itu, angka Januari dan Februari masih belum mencerminkan kesan COVID-19 di kedua-dua wilayah berkenaan,” katanya.

 

bolt

 

Ram berkata, sekatan pergerakan di AS tidak bermula sehingga 20 Mac lalu, tetapi kesannya sudah mula menunjukkan dalam jualan EV di negara itu.

 

Beliau berkata, General Motors menawarkan diskaun sebanyak AS$10,000 bagi Chevrolet Bolt dan langkah rebat seumpama itu akan pasti dilaksanakan untuk menggerakkan inventori apabila permintaan terus menurun.

 

Pengeluar kereta tradisional yang memasuki pasaran EV juga mengumumkan model baharu akan dilancarkan dalam beberapa tahun akan datang berbanding dalam tempoh 12 bulan.

 

 

Renewablesnow.com

Berita Berkenaan

Berita Global
Menurut laporan Sinar Harian yang memetik Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kesihatan Awam,…
Berita Global
Peraturan baharu itu akan berkuatkuasa bermula hari ini (Ahad) seperti yang dimaklumkan oleh Pihak…
Berita Domestik
Menurut presiden Persatuan Peniaga Aksesori Automotif Malaysia, Lim Bee Choo berkata, keadaan itu…