COVID-19: Ingkar PKP, dua bengkel diserbu

oleh SALINA JALIL|
Dua bengkel membaiki kenderaan yang membuka perniagaan pada hari yang tidak dibenarkan, diserbu anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching kerana ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), di Kuching, Sarawak, semalam.


Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komosioner Awang Din Awang Gani berkata, dalam serbuan pertama jam 10.30 pagi, polis ketika membuat rondaan dan pemantauan penugasan OP COVID-19 menerima maklumat sebuah bengkel membaiki kenderaan di Jalan Pending sedang beroperasi.

 

"Setibanya di lokasi, didapati empat lelaki dan seorang wanita sedang bekerja.

 

"Kesemua mereka warga tempatan berumur antara 19 hingga 40 tahun ditangkap kerana melanggar PKP," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Semua bengkel kereta, motosikal dan alat ganti tayar serta bateri di Sarawak dibenarkan beroperasi dua kali seminggu, pada Selasa dan Khamis, bermula jam 7 pagi hingga 7 malam sepanjang tempoh penguatkuasaan PKP.

 

Sementara itu, dalam serbuan kedua jam 12.20 tengah hari, pihaknya menyerbu sebuah lagi bengkel membaiki kenderaan di Taman Sri Wangi, Petra Jaya.

 

"Ketika serbuan dilakukan dua lelaki warga tempatan berumur 41 dan 42 tahun sedang bekerja.

 

"Kesemua mereka dibawa ke IPD Kuching untuk tindakan selanjutnya," katanya.

 

Beliau berkata, siasatan awal terhadap ketujuh-tujuh suspek terbabit mendapati mereka gagal memberi alasan yang munasabah.

 

"Mereka didapati melanggar PKP kerana membuka perniagaan bengkel pada hari yang tidak dibenarkan oleh kerajaan.

 

"Siasatan dijalankan di bawah Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempat Jangkitan) 2020 yang telah berkuatkuasa dan boleh dihukum di bawah Peraturan 11 peraturan yang sama dan di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan," katanya.

 

 

sumber: BH

Add new comment

Berita Berkenaan

Berita Global
Menurut laporan Jakarta Post, pegawai-pegawai kesihatan di lapangan terbang Sorong mengesan seorang…
Berita Domestik
Menurut Menteri Kanan Kluster Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, acara sosial termasuk…
Informasi
Bagai 'Sudah jatuh ditimpa tangga', satu-satunya motosikal miliknya juga tidak dapat digunakan…