COVID-19: Demi sebiji kek batik, penuntut wanita dipenjara dan didenda ingkari PKP

oleh SALINA JALIL|
Tindakan seorang penuntut wanita sebuah universiti swasta ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan keluar rumah untuk memberi rakan lelakinya makan kek batik membawa padah, apabila dia dijatuhi hukuman penjara tujuh hari dan denda RM800 oleh Mahkamah Majistret di Shah Alam semalam.


Majistret Ellyna Othman memerintahkan wanita berumur 22 tahun itu menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh dia ditangkap pada 18 April lepas, selain memerintahkan tertuduh dipenjara dua bulan sekiranya gagal membayar denda.


Rakan lelakinya yang juga berumur 22 tahun yang merupakan penuntut sebuah universiti awam, dikenakan denda RM1,000 atau penjara dua bulan.
Modenas

 

Kedua-dua mereka yang dibacakan pertuduhan secara berasingan, mengaku bersalah bergerak dari satu tempat ke suatu tempat lain di dalam kawasan tempat jangkitan, di Jalan SP1/8, Subang Perdana di sini, pada 9 malam 18 April lepas.

 

Mereka didakwa mengikut Peraturan 3 (1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020 dan dihukum mengikut Peraturan 11 (1) Peraturan sama, yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM1,000 atau penjara maksimum enam bulan atau kedua-duanya sekali.

 

Mengikut fakta kes, pihak polis menemui kedua-dua tertuduh di dalam sebuah kereta yang diletakkan di tepi jalan dalam keadaan enjin tidak dimatikan dan alasan diberikan wanita itu ialah dia ingin memberi rakan lelakinya makan kek batik yang dibuatnya serta ketika tangkapan dibuat, lelaki itu sedang makan kek berkenaan.

 

Wanita itu telah dijemput oleh rakannya itu sebelum bergerak ke tempat kejadian yang terletak kira-kira 800 meter dari rumah wanita itu, dan lelaki berkenaan sebelum itu pula telah bergerak dari rumahnya yang terletak empat kilometer dari tempat kejadian.

 

Kes wanita itu disebut dahulu dan hukuman terhadapnya dijatuhkan dahulu sebelum peguam Shalehhuddin Salam yang mewakilinya memohon mahkamah menjatuhkan hukuman ringan dengan mengambil kira ini kesalahan pertama tertuduh.

 

Selepas itu, kes lelaki itu disebut dan semasa merayu hukuman ringan terhadap tertuduh lelaki, Shalehhuddin berkata anak guamnya tiada niat untuk melanggar PKP dan memohon mahkamah mempertimbangkan bahawa hukuman penjara akan menjejaskan pembelajaran tertuduh.

 

Ditanya majistret di mana dia belajar, tertuduh lelaki itu berkata di sebuah universiti awam.

 

Timbalan Pendakwa Raya Nur Syazwanie Marizan memohon mahkamah menjatuhkan hukuman berat sebagai pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat supaya tidak mengambil mudah perintah PKP.

 

"Tertuduh (wanita) telah beri alasan sangat tidak munasabah, keluar dari rumah untuk jumpa tertuduh lelaki  pada pukul 9 malam hanya untuk beri makan kek batik yang dibuat. 

 

"Dalam tempoh PKP ini masyarakat harus ambil serius perkara seperti ini bagi mengelakkan penularan COVID-19 bertambah teruk," katanya.

 

 

 

 

-- BERNAMA

Add new comment

Berita Berkenaan

Berita Domestik
  Beliau berkata, ibu bapa tidak perlu lagi memohon surat kebenaran daripada polis.   "Mesyuarat…
Informasi
  Menurut laman Pejabat Peguam Negara, perkara itu telah diwartakan di bawah Ordinan Darurat (…
Informasi
  "Pengenalpastian secara digital ini akan membuka jalan untuk penumpang Malaysia Airlines yang…