COVID-19: Daerah Kota Setar mula PKPD bermula tengah malam ini

oleh SALINA JALIL|
Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) secara pentadbiran akan dikuatkuasakan di 28 mukim di Kota Setar, Kedah bermula 12.01 tengah malam ini sehingga 25 Sept.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata ia akan membabitkan seramai 366,787 penduduk secara keseluruhan.

Beliau berkata perkara itu diputuskan pada mesyuarat khas hari ini selepas mengambil kira peningkatan kes positif COVID-19 kluster Sungai dan Tawar di daerah berkenaan.
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
HONDA CR-V MREC Banner Campaign March 2024

Ismail Sabri yang juga Menteri Pertahanan berkata Prosedur Operasi Standard (SOP) di daerah berkenaan adalah sama sepertimana SOP PKPD Pentadbiran yang lain, termasuk larangan keluar dan masuk di kawasan berkenaan, di mana pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan melaksanakan sekatan jalan raya.

"Individu yang perlu keluar masuk, yang ingin keluar masuk untuk bekerja juga, tidak dibenarkan di kawasan PKPD ini, oleh itu saya berharap majikan perlu mengambil maklum tentang perintah ini. Ini bukan atas kehendak pekerja mereka, tetapi atas perintah yang dikeluarkan kerajaan yang menyebabkan mereka tidak dapat bekerja.

 

"Jadi saya berharap tidak ada tindakan diambil terhadap pekerja yang tidak (dapat) bekerja dan kalau boleh, kita galakkan majikan meminta pekerja mereka membuat kerja dari rumah,” katanya.

 

Ismail Sabri berkata sepanjang tempoh berkenaan, kemasukan melalui pintu masuk antarabangsa di Bukit Kayu Hitam juga dihentikan manakala perkhidmatan feri di jeti Kuala Kedah juga tidak dibenarkan beroperasi.

 

Turut diarah tutup adalah masjid dan rumah ibadat, semua institusi berkaitan pendidikan, pasar tani dan pasar malam, selain aktiviti sukan, rekreasi dan sosio-budaya, sepanjang tempoh berkenaan.

 

Menurut beliau hanya premis perniagaan yang menyediakan perkhidmatan perlu sahaja dibenarkan beroperasi seperti premis menjual makanan, kedai runcit, warung, stesen minyak, farmasi, klinik dan hospital.

 

"Perkhidmatan lain seperti kilang perlu memohon kebenaran daripada PDRM terlebih dahulu sebelum dibenarkan beroperasi. Restoran dan kedai makan walaupun dibenarkan, hanya boleh menggunakan kaedah ‘takeaway’ sahaja dan beroperasi dari pukul 8.00 pagi sehingga 8.00 malam.

 

“Klinik dan hospital dibenarkan beroperasi 24 jam, manakala waktu operasi farmasi dan kedai menjual ubat-ubatan dibenarkan sehingga pukul 8.00 malam sahaja. Stesen minyak dan kedai runcit pula boleh beroperasi dari 8.00 pagi sehingga 8.00 malam, pasar harian pula dari 6.00 pagi sehingga 2.00 petang,” katanya.

 

Beliau turut menegaskan bahawa hanya ketua atau seorang wakil keluarga sahaja dibenar keluar untuk menjalankan sebarang urusan harian ini, manakala kebenaran keluar masuk turut diberikan kepada kenderaan yang membawa produk asas atau penting, namun mereka perlu mendapatkan kebenaran PDRM terlebih dahulu.

 

Dalam perkembangan sama, Ismail Sabri berkata PKPD Pentabiran turut dikenakan untuk tempoh sama di Penjara Tawau, Sabah selepas mengambil kira penularan kes jangkitan positif di lokasi berkenaan.

 

“Ia akan melibatkan banduan, anggota dan ahli keluarga jabatan penjara di Penjara Tawau. Perintah keluar masuk juga dikenakan iaitu mereka berada dalam kawasan PKPD penjara ini tak dibenar keluar dan tak ada pengunjung dari luar untuk masuk ke dalam kawasan penjara.

 

"Rakyat di kawasan Tawau dan Lahad Datu tak perlu gusar dengan kenaikan kes positif COVID-19 di penjara ini kerana mereka telah terkurung dan berada di dalam kawasan penjara, jadi kemungkinan atau peluang kes disebarkan kepada orang ramai, terhad. Yang ada memang dah terkurung di dalam itu,” katanya. 

 

Beliau turut mengumumkan lanjutan tempoh PKPD Pentadbiran di Amanjaya, Sungai Petani Kedah selama tiga hari lagi sehingga 13 Sept ini, bagi memberi ruang kepada Kementerian Kesihatan menyempurnakan keputusan saringan kedua COVID-19 di kawasan berkenaan.

 

- Diharap mereka yang terlibat patuhi arahan yang dikeluarkan atau kita semua akan terbabit sama -

 

 

 

- BERNAMA

Berita Berkenaan

Berita Global
Menurut laporan Sinar Harian yang memetik Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kesihatan Awam,…
Berita Global
Peraturan baharu itu akan berkuatkuasa bermula hari ini (Ahad) seperti yang dimaklumkan oleh Pihak…
Berita Domestik
Menurut presiden Persatuan Peniaga Aksesori Automotif Malaysia, Lim Bee Choo berkata, keadaan itu…