COVID-19 - Agong isytihar darurat sehingga 1 Ogos 2021!

oleh Mohamad Hanif|
Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah memberi perkenan Pengisytiharan Proklamasi Darurat dilaksanakan sehingga 1 Ogos sebagai langkah proaktif membendung wabak COVID-19 di Malaysia.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin dalam kenyataan Istana Negara memaklumkan Seri Paduka memberi perkenan tempoh pelaksanaan darurat itu atau sehingga suatu tarikh yang lebih awal jika angka kes positif COVID-19 harian dapat dikawal dan diturunkan dengan berkesan.

Al-Sultan Abdullah turut berkenan dengan cadangan kerajaan bagi pembentukan satu Jawatankuasa Bebas yang akan dianggotai oleh Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang serta pakar-pakar kesihatan dan yang berkaitan.

“Jawatankuasa Bebas ini akan mengesyorkan kepada Seri Paduka Baginda sekiranya pelaksanaan darurat ini dapat ditamatkan lebih awal,” katanya.

Ahmad Fadil berkata perkenan itu telah mengambil kira rundingan Seri Paduka dengan Raja-Raja Melayu.

Menurutnya, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin telah menyembah maklum keputusan Mesyuarat Jemaah Kabinet berhubung cadangan pelaksanaan Pengisytiharan Proklamasi Darurat ketika menghadap Al-Sultan Abdullah di Istana Negara pada 5.30 petang semalam (11 Jan) untuk membendung dan melandaikan kes positif COVID-19 harian yang kini mencecah empat angka.

Beliau berkata Seri Paduka memperhalusi penjelasan Perdana Menteri dan sembah taklimat daripada Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali, Peguam Negara Tan Sri Idrus Harun, Panglima Angkatan Tentera Tan Sri Affendi Buang, Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Datuk Abdul Ghani Salleh.

“Maka Al-Sultan Abdullah berpandangan bahawa penularan wabak COVID-19 di negara ini berada di tahap yang amat kritikal dan adanya keperluan Pengisytiharan Proklamasi Darurat berdasarkan Fasal (1) Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Ahmad Fadil berkata perkenan Al-Sultan Abdullah berkenaan turut mengambil kira keselamatan diri rakyat dan kepentingan negara berdasarkan statistik semasa COVID-19, khususnya kekangan kemudahan-kemudahan logistik mengikut negeri-negeri yang dipersembahkan semasa sesi taklimat itu.

Sumber: Bernama