Civic Type R sambut ulang tahun ke-25 - enam generasi berlogo H merah!

oleh Mohamad Hanif|
Sebagai seorang yang meminati kereta, kehadiran model Civic Type R generasi pertama EK9 pada tahun 1997 sememangnya memberikan impak yang besar, biarpun tidak pernah berpeluang untuk menguji sendiri hot hatch tersebut.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Dengan reka bentuk yang ringkas, namun Civic Type R (dengan warna ikonik kuning) itu mampu membuktikan falsafah Type R yang wujud pada model NSX boleh ditawarkan dalam pakej yang lebih mampu milik.

Sehingga kini, terdapat enam generasi Honda Civic Type R yang ditawarkan sepanjang tempoh 25 tahun, dan jentera berlogokan H merah ini masih lagi berterusan diburu oleh para peminatnya.

 

Civic Type R EK9 (1997)

Civic EK9


Dibangun menggunakan asas daripada Civic generasi keenam, ia merupakan model Civic pertama yang menerima tampalan lencana Type R.

Ia mendapat nadi B16B 1.6 liter yang mampu menghasilkan kuasa setinggi 182 hp @ 8,200 rpm, daya kilas 160 Nm, transmisi manual nisbah rapat enam kelajuan, LSD depan helical, serta casis monocoque yang lebih tegar.

Dengan berat sekitar 1,050 kg, EK9 mampu memecut 0-96 km/j sepantas 6.7 saat dengan kelajuan tertinggi 225 km/j.

 

Civic Type R EP3 (2001)

EP3


Masih lagi mengekalkan bentuk hatchback tiga pintu, generasi EP3 dibangun menggunakan Civic generasi ketujuh, dan ia merupakan model Civic Type R pertama yang diproduksikan di Swindon, England.

Kali ini, enjin 2.0 liter K20A2 digunakan menghasilkan 197 hp yang dipadankan dengan transmisi enam kelajuan nisbah rapat, serta kerangka keluli bertegangan tinggi yang mampu meningkatkan tahap ketegaran kilas statik sebanyak 80 peratus berbanding model EK9.

Pecutan 0-97 km/j adalah sepantas 5.8 saat, sebelum mencapai kelajuan tertinggi 235 km/j.

Menariknya, EP3 versi JDM didatangkan dengan talaan enjin yang lebih berkuasa (212 hp) dengan manifold kemasukan dan ekzos yang berbeza, omboh bertekanan tinggi, flywheel chrome-moly, dan program ECU yang berbeza, disamping mengekalkan penawaran LSD helical dan tempat duduk perlumbaan Recaro berwarna merah.

 

Civic Type R FD2/FN2 (2007)

Civic FD2


Penawaran generasi ketiga Civic Type R agak unik, ini kerana pasaran Eropah dan Jepun mendapat dua model yang berbeza.

Sementara Eropah masih lagi mengekalkan bentuk badan hatchback tiga pintu FN2, pasaran Jepun pula dihidangkan dengan bentuk badan sedan empat pintu FD2 dengan pengalaman pemanduan yang lebih berfokus terima kasih kepada enjin K20A 222 hp/215 Nm, LSD helical dan sistem brek Brembo.

Selain daripada itu, Civic FD2 menampilkan tetapan suspensi belakang bebas berbanding konfigurasi torsion beam pada model FN2.
 

FN2


Civic FN2 pasaran Eropah pula hadir dengan enjin K20 yang sama, namun dengan talaan kuasa 198 hp dan 193 Nm, namun dengan bentuk badan yang tidak begitu menarik berbanding Civic FD2.

Jika anda masih ingat, Malaysia merupakan satu-satunya negara di luar Jepun yang melancarkan model Civic Type R FD2 secara rasmi pada Ogos 2007.

Syukur Honda Malaysia bawa masuk FD2 yang cantik itu.
 

Civic Type R FK2 (2015)

FK2


Generasi keempat Civic Type R menandakan bermulanya penggunaan nadi turbo VTEC pada model berprestasi tinggi tersebut, disebabkan oleh undang-undang pada ketika itu.

Enjin K20C1 2.0 liter dengan teknologi Earth Dreams itu mampu menghamburkan kuasa setinggi 306 hp @ 6,500 rpm dan daya kilas 400 Nm @ 2,500-4,500 rpm, dipadankan dengan transmisi manual enam kelajuan, dan pecutan 0-100 km/j dalam masa 5.7 saat.

Menggunakan asas Civic generasi ke-9, Honda turut memperkenalkan FK2 dengan sistem suspensi Dual Axis Strut Suspension dengan padanan LSD untuk mengehadkan torque-steer yang dihadapi oleh kereta pacuan roda depan output tinggi.

Tidak seperti model FN2, Civic FK2 kini menampilkan bentuk badan hatchback lima pintu dengan kit badan yang lebih agresif.

Civic FK2 juga telah berjaya membuktikan kemampuannya dengan memenangi beberapa perlumbaan TCR Touring Car di seluruh dunia.


Civic Type R FK8

FK8


Menggunakan asas daripada Civic generasi ke-10, ia merupakan model Civic Type R terakhir yang dibina di kilang Swindon, England sebelum fasiliti itu ditutup sepenuhnya.

Ia merupakan satu evolusi kepada model FK2 dengan mengekalkan nadi K20C (kini berkuasa 316 hp), namun menampilkan rupa paras yang lebih agresif, serta membawakan beberapa ciri mekanikal baharu seperti penggunaan peredam adaptif.

Selain daripada penampilan yang lebih berani, Civic Type R FK8 juga turut membawakan rekaan tiga tip ekzos yang diposisikan di bahagian tengah diffuser.

Sepanjang tempoh produksi, Civic FK8 ini telah berjaya memecahkan beberapa rekod pusingan terpantas di litar-litar utama dunia, seperti Nurburgring, Spa-Francorchamps, Silverstone dan juga di litar negara asal Suzuka.

Buat pertama kalinya, Civic Type R FK8 mula ditawarkan secara meluas di peringkat global, termasuk pasaran Amerika Syarikat, Australia, Indonesia, Singapura dan juga Malaysia.

 

Civic Type R FL5 (2022)

FL5


Menggunakan asas Civic generasi ke-11, Civic Type R FL5 kini tidak lagi diproduksikan di Swindon, sebaliknya kembali dipasang di negara asal Jepun.

Generasi keenam FL5 ini membawakan rekaan yang lebih bersih, kurang agresif, namun dengan penambahan teknologi baharu serta aspek aerodinamik yang telah ditambahbaik.

Ia masih lagi mengekalkan nadi turbo 2.0 liter K20C1, namun sehingga kini angka kuasa kuda dan prestasi pecutan masih lagi dirahsiakan oleh pihak Honda.

Biarpun baharu sahaja dilancarkan, Honda Civic Type R FL5 kini sudah pun memegang rekod terpantas di Litar Suzuka sebagai sambutan ulang tahun plet nama Type R yang ke-30.

Berita Berkenaan

Berita Global
Di Amerika Syarikat, Honda telah menghentikan sementara penjualan bagi model tersebut disebabkan…
Berita Global
Diimport sepenuhnya (CBU) dari Jepun, Honda Civic Type R 2023 membawakan nadi turbo 2.0 liter…
Berita Global
Dalam notis yang dipaparkan di laman web rasmi, Honda meminta maaf kepada para pelanggan telah…