Citroen DS lama diubah suai jadi EV! Tak perlu isi minyak lagi

oleh Muhammad Md Tajudin|
Citroen DS elektrik oleh Electrogenic
Citroen DS elektrik oleh Electrogenic
Satu dari perkembangan menarik dunia automotif sekarang ialah ubah suai kereta klasik dengan menggantikan enjin asal kepada motor elektrik.

Ada pelbagai sebab ubah suai begitu dilakukan seperti prihatin terhadap alam sekitar, pemanduan lebih senyap dan sebagainya.

Bagi memelihara keaslian kereta yang merupakan aspek penting dalam dunia klasik, ada pengubahsuaian boleh dipatah balik di mana enjin asal dipasang semula.

Ini pula satu lagi projek yang melibatkan sebuah model klasik dan istimewa.

Pakar elektrifikasi kereta klasik Electrogenic dari Oxford, United Kingdom telah berjaya mengubahsuai Citroen DS kepada sebuah kereta elektrik.
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
HONDA CR-V MREC Banner Campaign March 2024
Citroen DS elektrik oleh Electrogenic

 

DS tahun 1971 ini terkenal dengan pemanduan yang selesa dan reka bentuk tersendiri. Ia ibarat sebuah objek seni atau arca yang mempunyai roda.

Satu lagi yang membuatkan DS terkenal ialah pemanduan ibarat karpet terbang yang disumbangkan oleh suspensi hydro-pneumatik dengan fungsi pengaras automatik (self level).

Menariknya, Electrogenic mengekalkan set tersebut dengan membuat pengubahsuaian.

Electrogenic gantikan pam asal mekanikal yang bising dengan pam elektrik baharu dan katanya berjaya memberikan pemanduan lebih baik berbanding asal.

 

Citroen DS elektrik oleh Electrogenic

 

Projek elektrifikasi Citroen DS ini melibatkan penukaran enjin 2.0 liter asal kepada motor eletrik tanpa berus (brushless) Hyper9.

Satu keistimewaan motor elektrik ialah kuasanya yang tinggi dan kini Citroen DS mampu menghasilkan 120bhp dan daya kilas 235Nm secara serta-merta.

Selain itu, Electrogenic memaklumkan Citroen DS dipacu roda depan menggunakan kotak gear asal.

Ia satu perkara menarik namun tiada maklumat lanjut bagaimana ia dikekalkan dan penulis ingin tahu dengan lebih mendalam mengenainya. 

 

Citroen DS elektrik oleh Electrogenic

 

Bateri yang dibekalkan berkapasiti 48.5kWh dan kereta klasik elektrik ini boleh dipandu kira-kira 225 km. 

Jarak tersebut sederhana sahaja dan mencukupi untuk pemanduan biasa dari titik A ke B.

Lagi pula, kereta klasik sebegini biasanya lebih banyak disimpan dari berjalan jauh.

Citroen DS dilengkapi pengecas 29kW dengan keupayaan pengecasan bateri sekitar dua jam.

Sebelum itu, Electrogenic menawarkan pilihan penambahan jarak dan pelanggan boleh mendapatkan bateri dengan jarak melangkaui 321 km.

 

Citroen DS elektrik oleh Electrogenic

 

Jadinya masalah jarak yang tidak sesuai boleh diselesaikan dan di sini kelebahan kereta elektrik.

Nak pandu lebih jauh? Dapatkan pilihan dengan bateri kapasiti lebih tinggi.

Dari segi reka bentuk pula, Electrogenic sentiasa mengekalkan keaslian dan perubahan pada tahap kecil. 

Apa yang tiada ialah paip ekzos dan dilekatkan logo DS EV electronique pada but.

Tempat isi petrol digantikan dengan soket pengecasan.

 

Citroen DS elektrik oleh Electrogenic

 

Pengubahsuaian seperti ini sebenarnya memberi nafas baharu kepada kereta klasik.

Mungkin ada yang berhujah hilanglah identiti utama kereta ikonik ini namun apa yang penting ialah Citroen DS dengan usia lima dekad boleh bergerak seperti kereta lain malah lebih canggih!

Penulis: Muhammad Md Tajudin

 

Citroen DS elektrik oleh Electrogenic