Beberapa bulan yang lalu, Proton telah pun melancarkan kemaskini terhadap penawaran model kembar Iriz dan Persona, dengan ciri-ciri yang moden seperti skrin infotainmen jenis terapung 8 inci, sokongan Arahan Suara, Muzik dan Navigasi dalam talian, Sambungan 4G dan Wi-Fi, serta rupa paras yang jauh lebih sporti dan ranggi, semua ini boleh didapati pada varian baharu Proton Iriz 1.6L Active.
Tidak cukup dengan itu, untuk membuktikan betapa seriusnya Proton, mereka telah membangunkan kira-kira 42 komponen baharu yang dikhususkan untuk model khas ini.
Jadi bagaimana dengan varian terbaharu Proton Iriz ini?
Careta sempat menemuramah salah seorang daripada pemilik Iriz 1.6L Active CVT bagi mendapatkan maklum balas serta pengalaman sepanjang pemilikan penawaran terbaharu Proton ini.
Menurut Shahidah binti Abd Aziz yang berusia 25 tahun, sebab beliau memilih untuk mendapatkan Iriz 1.6L Active adalah kerana reka bentuknya dan penampilan ruang kabin yang jauh lebih sporti berbanding Iriz versi standard.
Malah, beliau juga turut mengkagumi elemen moden yang diterapkan pada ruang kabin Proton Iriz 1.6L Active ini seperti sistem infotainmen yang menawarkan sambungan 4G dan Wi-Fi untuk perkhidmatan navigasi dalam talian, penstriman muzik, serta tidak ketinggalan sambungan kepada peranti pintar.
Ciri yang paling dihargai adalah kehadiran enam slot pengecasan USB termasuk satu slot yang terletak di bahagian belakang cermin pandang belakang yang boleh digunakan untuk pemasangan kamera perakam video pemanduan.
Shahidah yang sebelum ini biasa membawa Saga FLX kepunyaan keluarganya mengakui kuasa 109 PS dan 105 Nm yang dihamburkan oleh enjin 1.6 liter Iriz ini adalah amat memadai untuk kegunaan seharian.
Ia ditambah dengan penggunaan transmisi CVT yang lebih senyap, cekap dan mampu menawarkan penjimatan bahan api itu.
Malah baginya, Iriz Active menawarkan aspek pemanduan dan pengendalian yang terbaik berbanding kereta-kereta Proton yang pernah dipandu sebelum ini.
Sebagai sebuah hatchback berharga bawah RM55k, Proton Iriz 1.6L Active turut menawarkan pakej keselamatan yang merangkumi enam beg udara, ABS, EBD, Bantuan Brek, Kawalan Kestabilan Elektronik, Sistem Kawalan Cengkaman, Bantuan Mula Mendaki, Kamera Undur, serta penderia parkir depan dan belakang.
Jadi adalah tidak menghairankan apabila model ini masih lagi mengekalkan status lima bintang menerusi ujian penilaian kenderaan baharu ASEAN NCAP.
Dengan harga RM54,000, Proton Iriz 1.6 Active ini sebenarnya sudah lebih daripada cukup untuk menawarkan satu pakej kereta harian yang selesa dengan ciri-ciri yang moden dan bergaya, dan ia masih lagi kekal sebagai hatchback segmen B termurah, serta mampu milik yang hadir dengan padanan enjin 1.6 liter yang berkuasa di dalam kelasnya.
Sebagai seorang pemilik yang berpuas hati, Shahidah turut menyarankan model Proton Iriz 1.6L Active ini kepada rakan-rakannya.