Ciri Mewah Harga Marhaen - Kebangkitan Kereta dari China

oleh Firdaus Razani|
Pada suatu masa dahulu di Malaysia, anda hanya boleh membeli kereta dari Barat, yang kini lebih dikenali sebagai kereta “konti”, singkatan kepada perkataan continental dari bahasa Inggeris.

Pada ketika itu, British Leyland, gergasi pembuat kereta dari negara penjajah masih mendominasi pasaran kenderaan kecil.

Pada tahun 1956, kenderaan dari Britain mewakili 65% penjualan kereta baharu dalam pasaran negara. Antara lain kereta yang terkenal adalah, Morris Minor dan juga Morris Mini Minor, yang juga dikenali sebagai Mini.
china

 

Terdapat banyak lagi kenderaan dan jenama dari syarikat British Leyland, seperti Jaguar, MG, Rover, Austin, Land Rover dan macam-macam lagi, bagaikan syarikat Toyota tapi edisi Inggeris.

Terdapat pelbagai kenderaan dari Negara Jerman seperti Opel, BMW, dan Mercedes, dan kemudiannya Audi.

Kenderaan dari Jerman tidak bersaing dengan kenderaan dari negara lain, mereka sentiasa lebih “hebat”, simbol kekayaan dan pencapaian ekonomi.

Dominasi kereta konti pada suatu ketika dahulu punyalah hebat sehinggakan Polis Di-Raja Malaysia (PDRM) menggunakan Alfa Romeo Alfetta 2000, pasukan polis pertama di luar Itali yang menggunakan kenderaan tersebut.

 

 

Alfa Romeo Alfetta 2000 PDRM (Sumber FB)

 

Tidak ketinggalan juga pembuat kereta dari Sweden dengan jenama Saab dan Volvo.

Waktu saya masih kecil, saya teringat pernah melihat PDRM pada masa itu menggunakan Volvo 360 GLE.

 

Volvo 360 GLE PDRM (Sumber FB)

 

Negara Perancis tampil dengan jenama Peugeot dan Citroen. Menurut lagenda, kereta Peugeot 404 merupakan punca penghapusan monopoli unta selama 4,000 tahun di Gurun Sahara sebagai kaedah pengangkutan utama di kawasan tersebut.

Tahun 1956 menyaksikan kehadiran Toyota FJ25L Land Cruiser, kemudiannya Datsun 1000 dibawa masuk oleh Tan Chong pada tahun 1957, yang merupakan kereta Jepun pertama yang dijual di Malaysia.

Bangunan Tan Chong sekitar 1950-an

 

Macam biasa, kehadiran jenama baru dipandang sinis, “Boleh pakai ke ni?”, “Mesti selalu rosak ni...”, dan macam-macam lagi tomahan yang tidak berasas, maklumlah zaman ini Jeremy Clarkson belum ada, apatah lagi Hezeri Shamsuri, siapalah yang nak bagi ulasan untuk rakyat?

Media sosial pun belum wujud, maka kereta pada ketika itu terhad kepada golongan tertentu, yang membeli kereta melalui “ulasan” rakan sebaya.

Anehnya, kereta yang memecahkan monopoli Barat bukanlah kenderaan popular pada hari ini seperti Toyota dan Honda, tetapi kenderaan popular pada zaman itu, yakni, Datsun, atau lebih dikenali sebagai Nissan pada hari ini.

Kehadiran 120Y dan kemudiannya 130Y mengubah peta automotif dunia secara umumnya dan Malaysia khususnya.

 

Datsun 120Y

 

British Leyland akhirnya terkubur bersama penjajahan Inggeris. Penjualannya merudum bukan sahaja di serata dunia, malah di negara sendiri juga keretanya tidak laku.

Pasca Covid-19, dunia dibanjiri dengan kehadiran kereta dari China, dengan “ulasan” yang lebih kurang sama. Terdapat kesangsian terhadap teknologi dan jenama baru dari gergasi pembuatan dunia.

Pasaran kereta luar negara yang rata-rata didominasi oleh kenderaan dari Jepun kini mendapat pesaing baru. 10 tahun lalu, kereta dari China tiada di mata kita, sungguhpun kenderaan dari jenama Chery sudah lama di pasaran namun tidak diendahkan.

Pada zaman itu, kereta Chery sekadar penghibur jiwa.

 

Chery Eastar 2.0 2010

 

Namun, dewasa ini kereta dari China semakin menyerlah, harganya mampu milik, manakala ciri-ciri dan kelengkapan keselamatannya setanding kereta mewah.

Kerusinya mempunyai aliran udara sejuk atau panas, enjin yang kuat dengan sistem hibrid berplug atau PHEV. Beberapa tahun lepas, kenderaan PHEV hanyalah sesuatu yang mampu dimiliki bangsawan, kini ianya lebih mampu milik.

 

Chery Tiggo 7 PHEV

 

Dengan harga kereta baru yang setanding kereta terpakai dari jenama legasi, syarikat-syarikat dari China semakin mengganas.

Sedikit demi sedikit dominasi pengeluar kereta legasi terhakis.

Mana tidaknya, kereta legasi terpakai atau reconditioned (rekon atau recond) dari jenama terkemuka kini bersaing dengan kereta baru dari China yang mempunyai lebih banyak “jajan”, kerusi urut, kerusi tanpa graviti, ADAS 2.5, dan prestasi yang tiada tandingan.

Sekali duduk kita boleh rasa perbezaan, keselesaan dan keempukan kerusinya sahaja cukup luar biasa, setelah memandu uji, anda akan dihantui oleh kereta tersebut.

 

Chery Tiggo 8 PHEV Interior

 

“Saka” akan mengikut anda ke mana sahaja, teringat enjin 1.5 turbo yang digandingkan dengan motor elektrik dan boleh menjana lebih 340 kuasa kuda dan berharga kurang dari RM160,000.

Anda tidak lagi mampu tidur lena.

Ataupun anda menaiki MPV mewah yang mempunyai lebih 400 kuasa kuda, dan mampu memecut selaju VW Golf GTi Clubsport, dengan harga kurang dari RM270,000.

Bukan sekadar berkuasa, MPV mewah itu juga mempunyai 2 kerusi yang dilengkapi fungsi urut di ruangan tengah.

Mesti anda terfikir, takkan murah macam tu pastu hebat camtu sekali? Adakah semuanya indah khabar dari rupa? Perkara ini kita akan bincangkan dalam edisi akan datang.

 

Penulis : Rehan Ahmad